
Oleh Herald Malaysia
SRI AMAN – Seramai 19 belia daripada Parish Youth Ministry (PYM) Sri Aman yang mewakili Holy Family Church, Betong dan Our Lady Queen of Peace Church, Simanggang, menyertai Retreat Servants & Music Ministry 2026 di Catholic Memorial and Pilgrimage Centre (CMPC), Gunung Singai, pada 1 – 2 Ogos lalu.
Bertemakan “Setia Sehingga Akhir”, retret yang dipimpin oleh Fr Henry Jimbey itu memberi peluang kepada para peserta memperbaharui panggilan mereka sebagai pelayan Gereja melalui doa, refleksi dan pengalaman hidup berkomuniti.
Berbeza daripada kebanyakan retret, program itu tidak disusun dengan jadual yang terperinci atau arahan yang khusus. Sebaliknya, para peserta digalakkan mengambil inisiatif, memikul tanggungjawab dan belajar melayani dengan rela hati dalam setiap aktiviti yang dijalankan.
Sepanjang retret, para peserta diajak merenungkan dua persoalan asas dalam kehidupan seorang pelayan Gereja: “Mengapa saya masih berada dalam Gereja Katolik?” dan “Mengapa saya masih melayani?”
Refleksi tersebut membantu mereka menilai semula tujuan serta motivasi pelayanan agar sentiasa berpusat kepada Kristus.
Selain sesi perkongsian dan refleksi iman, para peserta turut mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti berkumpulan dan permainan yang menguji pengetahuan tentang Kitab Suci, kehidupan Gereja dan cabaran pelayanan pada masa kini.
Aktiviti-aktiviti tersebut bukan sahaja mengeratkan persaudaraan, malah memupuk kerjasama, kepimpinan dan saling menyokong dalam kalangan belia.
Salah satu pengisian yang paling menyentuh hati ialah renungan tentang Yesus membasuh kaki para murid. Dengan mengikat sehelai kain pada pinggangNya dan membasuh kaki para murid, Yesus memperlihatkan bahawa kepimpinan sejati berakar pada kerendahan hati dan kesediaan untuk melayani orang lain dengan kasih.
Sepanjang retret itu, Fr Henry turut mengingatkan para peserta bahawa “Jika jalan kita adalah betul, maka berkat Tuhan akan sentiasa menyertai kita,” serta menegaskan bahawa “Yesus adalah tunjang kehidupan kita dalam Gereja.”
Retret tersebut diharapkan dapat memperbaharui semangat para belia untuk terus melayani dengan setia, rendah hati dan berakar dalam Kristus, sekali gus memperkukuh komitmen mereka dalam pelayanan muzik dan pelbagai pelayanan lain di paroki masing-masing. – Herald Malaysia





































