
Herald Malaysia
JOHOR BAHRU – Lebih 400 peserta dari seluruh Keuskupan Melaka Johor berhimpun di Gereja Immaculate Conception bagi menyertai Program Pencarian Panggilan.
Para peserta itu datang dari lapan paroki. Turut bersama mereka ialah 30 orang paderi dan religius yang mewakili pelbagai kongregasi serta keuskupan.
Program yang bertujuan memperkenalkan keindahan panggilan hidup dalam Gereja, turut disokong oleh 38 sukarelawan.
Panggilan hidup ini bukan sahaja tentang imamat dan kehidupan religius, tetapi juga kehidupan berkeluarga dan bujang.
Pendekatan ini membantu peserta memahami bahawa setiap orang dipanggil menjalani kekudusan melalui keadaan hidup masing-masing. Beberapa sesi dalam pasukan telah menyatukan peserta yang mempunyai latar bahasa yang berbeza.
Antara pengisian utama ialah sesi “round-robin”, di mana peserta dibahagikan mengikut bahasa dan bergerak dari satu stesen ke stesen lain.
Setiap stesen dikendalikan oleh pasangan suami isteri, umat awam bujang, paderi dan religius.
Melalui pendekatan ini, peserta dapat berdialog secara lebih dekat, mengemukakan soalan dan mendalami panggilan hidup dalam suasana terbuka dan penuh kepercayaan.
Selain daripada itu, sepuluh kongregasi religius dengan kerjasama pasukan panggilan keuskupan membuka reruai pameran.
Pada waktu rehat tengah hari, para peserta berpeluang mengenali pelbagai karisma dan bentuk kehidupan bakti.
Suasana di reruai pameran juga meriah dengan interaksi santai antara peserta dan para religius, yang berkongsi pengalaman panggilan mereka secara peribadi.
Melalui pertemuan ini, ramai peserta mendapat gambaran lebih jelas tentang kehidupan pelayanan serta komitmen yang dilalui.
Aktiviti mengumpul cop daripada setiap reruai, yang boleh ditukar dengan ais krim, menambah unsur santai dan kegembiraan.
Kemuncak program ini ialah Adorasi Sakramen Mahakudus yang dipimpin oleh para biarawan Fransiskan (OFM), sebelum Misa penutup.
Dalam suasana doa yang mendalam, peserta menulis buah refleksi dan panggilan yang dirasakan pada kertas berbentuk hati, lalu dipersembahkan di hadapan altar sebagai tanda penyerahan diri kepada Tuhan.
Misa penutup yang dipimpin oleh Uskup Bernard Paul diraikan dalam pelbagai bahasa.
Dalam homilinya, beliau menggariskan perjalanan panggilan melalui enam langkah: kehidupan harian, gangguan, kegelapan, ketaatan, keputusan dan hala tuju.
Uskup Bernard menegaskan bahawa panggilan Tuhan sering berkembang secara beransur-ansur, menuntut keterbukaan, kepercayaan dan kemurahan hati untuk menyahutnya.
Prelatus itu turut mengingatkan bahawa setiap pengalaman hidup, sama ada sukacita mahupun cabaran, boleh menjadi ruang Tuhan berkarya dalam diri seseorang. Oleh itu, umat diajak untuk tidak takut melangkah, tetapi berani mempercayakan hidup kepada bimbingan Tuhan yang setia.
Program Panggilan ini berjaya menggabungkan doa, pembentukan iman dan pertemuan peribadi, sekali gus menjadi pengalaman bermakna bagi mereka yang sedang mencari arah panggilan hidup. – Herald Malaysia















































