Gereja St John Biah merupakan tuan rumah perayaan Pesta Keluarga Kudus peringkat paroki KSFX
Oleh Melty
Jan 24 2024
KENINGAU – Perayaan Pesta Keluarga Kudus peringkat paroki Katedral St Francis Xavier (KSFX) telah berlangsung pada 31 Dis 2023 di Gereja Katolik St John Biah, sebagai tuan rumah.
Perayaan bermula dengan perayan Ekaristi yang dipimpin oleh Uskup Cornelius Piong dan dibantu oleh Diakon Nakudah Killin.
Uskup dalam homilinya mengingatkan umat betapa pentingnya menghargai keluarga kerana keluarga adalah asas dan permulaan keluarga yang beriman.
Atas kekuatan Sakramen suami isteri, ibu bapa diberi berkat untuk menyalurkan cintakasih terhadap anak-anak mereka kerana cintakasih adalah intipati perutusan penyelamatan keluarga Kristian dalam Gereja.
Uskup Cornelius menasihati bahawa, “Sakramen Perkahwinan memberikan rahmat kepada pasangan suami isteri untuk menjadi misionari cintakasih dalam keluarga bagi mereka yang sudah berkeluarga, supaya mengambil masa untuk memperbaharui komitmen terhadap misi kita, sebagai ibu bapa yang menjadi saluran kehadiran Tuhan kepada anak-anak dan belia kita.”
Bapa Uskup menambah agar ibu bapa dapat membantu anak-anak mengenal Tuhan untuk pertumbuhan fizikal dan rohani serta membimbing anak-anak bertanggungjawab sosial, menghormati sesama manusia dan alam ciptaan Tuhan.
“Keluarga merupakan “sel pertama dan sangat penting bagi masyarakat kerana Pencipta alam semesta telah menetapkan persekutuan suami isteri menjadi asas dan dasar masyarakat manusia (Dekrit “Apostolicam Actuositatem” tentang Kerasulan Awam, art.11),” tegas prelatus itu.
Pada akhir Misa, Uskup Cornelius mengumumkan Zon Liau sebagai tuan rumah bagi Pesta Keluarga Kudus 2024 peringkat paroki KSFX. – Herald Malaysia