Para peserta yang hadir dalam Sinode Gereja St Mark 

Oleh Lucy Jamini Francis

Apr 16 2022

SANDAKAN – Komiti Pastoral Gereja St Mark (KPSM) menganjurkan Program Sinode di peringkat sub paroki yang melibatkan umat Gereja St Mark dari Komuniti Kristian Dasar (KKD) St Benedict, St Ignatius, St Francis Asisi dan KKD St Micheal/KBKI.

Penyelarasan dan pelaksanaan program yang diadakan di Dewan St Mark pada 27 Feb 2022 itu diketuai oleh Fabian Koret dan Paulina Francis dibantu oleh para Ahli KPSM. Fasilitator utama program tersebut ialah Fr Stephen Esquerra, pembantu Rektor Paroki Katedral St Mary Sandakan.

Program itu bertujuan agar kejayaan misi proses Sinodal dapat dicapai yang melibatkan semua umat beriman, para paderi dan umat awam dari gereja tempatan di seluruh dunia di mana semua dapat belajar mendengar serta berjalan seiring dengan satu sama lain.

Program dimulai dengan doa pembukaan oleh Fr Stephen, disusuli penerangan ringkas tentang maksud Sinode. Terdapat tiga aspek utama perlu difahami oleh semua peserta tentang maksud sinode iaitu Persekutuan, Partisipasi dan Misi.

Melalui program ini, selain berpeluang untuk mengetahui maksud Sinode serta pemahaman tentang gereja (gereja sinodal), para peserta juga dapat mendengar hasil perkongsian sesama kumpulan.

Para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil untuk sesi perbincangan dan menjawab sembilan soalan asas di mana soalan-soalan tersebut merangkumi aspek-aspek berikut:

Rakan dalam perjalanan

Mendengar

Perayaan

Berkongsi tanggungjawab untuk misi kita yang sama

Dialog dalam gereja dan masyarakat

Ekuminisme,

Kuasa (otoriti) dan partisipasi

Menghayati dan membuat keputusan

Membentuk diri kita dalam sinodaliti

Fr Stephen telah memberi penjelasan serta bantuan dan panduan kepada setiap kumpulan kecil itu semasa mereka menjawab kesemua soalan asas. Terdapat lima kumpulan memberi perkongsian dengan baik dan mudah difahami. Hasilnya, perkongsian tersebut telah memberi ilham dan sentuhan kepada setiap peserta yang hadir.

Pihak Komiti Pastoral Gereja St Mark menghargai dan mengucapkan terima kasih kepada Fr Stephen kerana telah memberi taklimat serta membantu dalam Program Sinode yang dijalankan. Mereka berharap agar semua peserta yang telah hadir dapat memahami, menghayati dan seterusnya mengamalkan proses sinodal di peringkat KKD masing-masing.

Sesi diakhiri dengan rumusan perkongsian oleh Fr Stephen, seterusnya doa penutup.

Salah satu kumpulan kecil