Sesi rosari melalui ZOOM oleh KBPT St Martin Telupid pada 22 Okt

Oleh KBPT St Martin Telupid

Okt 29 2020 

TELUPID – JOM berZOOM boleh juga diinterpretasikan sebagai “mari”, “ayuh”, “kaino” atau “let’s” dalam bahasa yang mudah difahami oleh masyarakat. Ungkapan ini sering kali kita dengar dimana-mana sahaja pada masa kini.

Sikit-sikit jom (ZOOM), sikit-sikit GM (Google Meet) dan banyak lagi platform aplikasi yang lain yang boleh digunakan untuk bertemu, bersua, berkumpul walaupun atas talian sahaja.

Norma baharu yang telah menjadi sebahagian daripada rutin seharian kita pada masa kini telah menjentik dan memberikan inspirasi kepada masyarakat untuk terus berhubung antara satu sama lain walaupun tidak dapat berkumpul bersama memandangkan penularan pandemik Covid-19 di negeri kita Sabah.

Kerinduan pada pelayanan? Itu sudah semestinya! Ramai yang menyatakan kerinduan mereka untuk hadir di rumah Tuhan untuk beribadah dan melakukan pujian dan penyembahan bersama.

Oleh itu, pada 22 Okt jam 8.00 malam, hasil inisiatif Kerasulan Belia Paroki (KBP) St Martin Telupid untuk berdoa rosari atas talian telah bermula dengan kehadiran Fr Dafrinn Diwol selaku pembimbing rohani Kerasulan Belia Keuskupan Sandakan merangkap pembantu paderi di St Martin Telupid, Sr Rusiah Garuk (fsic) dari Pejabat Belia Keuskupan Sandakan dan juga kehadiran Seminarian Andy Borine yang sedang menjalankan sesi pastoral di St Martin Telupid.

Cadangan ini sudah lama diutarakan namun dengan kekangan dan proses penyesuaian dengan norma yang baharu, sesi yang telah lama dirancang ini baru dapat direalisasikan dengan sambutan yang sungguh menggembirakan.

Sekitar 20 orang umat dan belia telah bersama-sama dalam sesi rosari yang pertama. Kekangan tentang capaian internet di sesetengah tempat menjadi salah satu faktor ramai yang tidak dapat turut serta.

Walaubagaimanapun, usaha pertama ini memberi suntikan semangat kepada Tim KBP untuk meneruskan aktiviti ini sebagai salah satu pengisian secara mingguan dan terbuka kepada semua umat, tidak khusus untuk belia sahaja.

Tidak dapat berkumpul bersama bukanlah menjadi penghalang untuk kita semua mengeratkan dan menjalin persabahatan dan juga saling menguatkan dalam iman.

Disamping dapat berkumpul dan berdoa  bersama, masing-masing dapat bertanya khabar dan sekurang-kurang dapat melepaskan rindu untuk bertemu antara satu dengan yang lain. Semoga dengan inisiatif ini dapat mengubat kerinduan melayani kepada semua. Tuhan memberkati.