Uskup Cornelius Piong memberkati para penyampai radio online Kekitaan FM di dalam pelafazan komitmen pelayanan selepas Misa Kudus pada 3 Jan

Oleh An Richard, KOMSOS KSFX

Jan 7 2021

KENINGAU – Setelah tiga bulan bersiaran, Tim Kekitaan FM (KFM) telah mengambil kesempatan di tahun baru ini untuk memperbaharui dan memantapkan komitmen dalam rekoleksi singkat pada 3 Januari lepas. 

Ia diadakan di Rumah Retret Keuskupan Keningau, Tatal dan dihadiri oleh para penyampai Radio Online Kekitaan FM. 

Sr Bibianah Dunsia, FSP, penceramah jemputan dalam rekoleksi singkat Kekitaan FM pada 3 Jan

Sesi dalam rekoleksi disampaikan oleh Sr Bibianah Dunsia daripada Daughters of St Paul. Di dalam sesi, Sr Bibianah sempat membawa para penyampai radio online KFM mengimbas dan merenung perjalanan sepanjang tiga bulan bersiaran. Dia berkata penting bagi para penyampai radio khususnya untuk sentiasa merujuk misi dan visi kekitaan FM agar pelayanan tidak terpesong daripada misi dan visi. 

Walapun sesi yang disampaikan oleh Sr Bibianah adalah singkat, namun ianya cukup dan padat sebagai bekalan untuk terus berkembang dan untuk melayani dengan lebih efektif di Kekitaan FM.

Selesai sesi ceramah, program diteruskan dengan perayaan Misa Kudus yang diselebran oleh Uskup Cornelius Piong dan dibantu oleh Fr Clement Abel, Penasihat Rohani KOMSOS Keningau. Dalam Misa Kudus ini, penyampai radio online KFM dan juga sound producer melafazkan komitmen pelayanan di hadapan Uskup Cornelius.

Uskup dalam homilinya berkata bahawa dorongan Roh Kuduslah yang telah mencetuskan idea untuk melaksanakan radio online Kekitaan FM. Menurut prelatus, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan dahulu, Gereja ditutup dan umat hanya dapat merayakan Misa Kudus dalam talian, dan semua orang hanya berdiam di rumah dan disebabkan itu juga, ramai orang mengalami tekanan dan mulai hilang harapan.

“Oleh itu, dengan adanya Radio Online Kekitaan FM, ini dapat memberikan harapan kepada kita dan kepada mereka yang mendengar radio ini,” ujar Uskup.

“Jangan lupa kepada peranan Roh Kudus dalam pelayanan kerana Ia memampukan kita. Sentiasalah juga mengutamakan kesatuan atau teamwork antara sesama dan terus kuat mewartakan khabar baik tentang Tuhan kerana radio KFM ini bukan seperti radio di luar.” 

“Seperti majus yang hanya berpandukan bintang memimpin mereka kepada bayi Yesus. Begitu juga dengan kita mempunyai bintang yang memimpin kita, namun bintang kita berbeza iaitu melalui komen dan teguran-teguran.”

“Semoga pelayanan kamu sebagai penyampai radio, membimbing umat untuk bangga akan identiti sebagai pengikut Yesus, seperti kamu juga berbangga akan identiti ini. Biarlah segmen yang kamu bawakan memberi harapan kepada yang mendengarkan Radio Online Kekitaan FM,” katanya.

Harapan Uskup agar para penyampai radio KFM terus melayani dan melawan pengaruh tidak baik. 

Didiroy Joneh, Pengerusi KOMSOS merangkap pengerusi Kekitaan FM dalam ucapannya bersyukur dan berterima kasih kepada para penyampai radio KFM kerana sanggup menggunakan talenta mereka sebagai penyampai di studio Radio KFM. Didiroy juga berterima kasih kepada Uskup yang sentiasa membimbing dan mengambil berat akan perkembangan radio ini.

Seusai perayaan Misa, program diteruskan dengan fellowship kesyukuran genap tiga bulan Kekitaan FM. Acara tukar hadiah turut diadakan untuk penghargaan dan kesyukuran kebersamaan dalam Kekitaan FM.