
Herald Malaysia
LIMBAHAU – Sejak diisytiharkan sebagai Paroki Ekologi pada Mei 2024, paroki Holy Rosary Limbahau (HRL) terus mempergiat usaha memelihara alam ciptaan Tuhan, termasuk di stasi-stasi di bawah naungannya.
Baru-baru ini, Kapel St Sabina muncul sebagai juara dalam usaha ekologi selepas berjaya menceriakan kawasan chapel dengan pelbagai taman mini, tanaman herba serta penghasilan baja kompos.
Inisiatif tersebut bermula sempena sambutan Hari Wanita bertemakan “Wanita dan Ekologi” pada Mac lalu.
Dalam program itu, Sr Calista Saliun FSIC, Pengerusi Komisi Keadilan Ciptaan (CJC) Keuskupan Agung Kota Kinabalu, mencabar para wanita Katolik di HRL untuk mengambil tindakan nyata dalam memelihara dan menceriakan persekitaran chapel masing-masing.
“Selepas seminar ini, sebagai wanita Katolik, apa yang anda akan lakukan untuk menceriakan chapel anda?” katanya.
Cabaran itu menyuntik semangat kepada komuniti di beberapa chapel untuk berganding bahu mengindahkan kawasan masing-masing sebagai sebahagian daripada usaha menjaga alam ciptaan Tuhan.
Menjelang Musim Penciptaan, yang disambut dari 1 Sep hingga 4 Okt, Sr Calista bersama beberapa anggota Komiti CJC HRL dan CJC Keuskupan Agung Kota Kinabalu telah mengadakan lawatan ke kapel-kapel yang mengambil bahagian.
Rombongan begitu kagum menyaksikan transformasi kawasan yang dahulunya hanya berupa tanah dan bukit kosong, kini bertukar wajah menjadi landskap hijau yang berwarna-warni dan mempesona.
Menurut Sr Calista, usaha tersebut bukan sekadar aktiviti menceriakan kawasan chapel, tetapi mempunyai hubungan yang erat dengan kehidupan iman umat.
“Apa yang kamu lakukan sebenarnya mempunyai kaitan yang erat dengan iman. Kita percaya bahawa Tuhan ialah Pencipta langit dan bumi. Sebab itu, apabila kita menghargai alam ciptaan, kita sebenarnya sedang menghargai dan menghayati ungkapan iman kita.”
“Kita bukan hanya mewartakan Injil kepada manusia, tetapi melalui cara kita menjaga alam sekitar, kita juga menunjukkan penghargaan kepada seluruh ciptaan Tuhan,” katanya.
Lawatan ke kapel-kapel yang mengambil bahagian berlangsung dari 17 – 23 Ogos. Pada Ogos 23, semua wakil chapel kemudian berkumpul di Pusat Retret Pace Bene untuk mengikuti sesi katekesis serta pengumuman pemenang.
Turut hadir ialah Rita Vitalis, Pengerusi Liga Wanita dan CJC HRL, serta beberapa wakil CJC Keuskupan Agung Kota Kinabalu.
Mengulas hasil lawatan tersebut, Sr Calista berkata usaha yang dilaksanakan oleh komuniti chapel memperlihatkan kesedaran yang semakin berkembang bahawa penjagaan ekologi bukan tanggungjawab segelintir individu atau kumpulan tertentu.
Sebaliknya, ia merupakan panggilan bersama seluruh umat paroki HRL untuk memelihara alam ciptaan dan mewartakan kasih Tuhan kepada seluruh ciptaanNya. – Herald Malaysia







































