Msgr Gilbert Lasius menyampaikan hadiah kepada para pemenang

Oleh Melty Paulus

Feb 16 2024

KENINGAU – Kejohanan Sukan Solidariti Peringkat Paroki KSFX bagi tahun 2024 sekali lagi dirangkul oleh Katedral St Francis Xavier sebagai juara keseluruhan, dan seterusnya naib juara, tempat ketiga dan tempat keempat keseluruhan masing- masing telah dimenangi oleh Zon Luanti, Zon Kepayan dan Zon Liau.

Sukan solidariti yang dianjurkan oleh Komiti Sukan Dan Rekreasi KSFX bersama Zon Liau sebagai tuan rumah telah berlangsung selama dua hari pada 27 hingga 28 Jan 2024 yang lalu. Kejohanan ini melibatkan para peserta yang mewakili setiap zon-zon di sekitar Paroki KSFX. Tiga acara yang dipertandingkan termasuklah bola sepak terbuka lelaki dan veteran serta bola tampar lelaki yang dijalankan di padang Kg Tagai, bola tampar perempuan di Kg Tohan Baru dan badminton di dewan Kg Apin-Apin.

Acara kemuncak pada 28 Jan iaitu Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah kepada para pemenang sukan solidariti telah diadakan di Dewan Terbuka St Stephen Liau pada jam 3.00 petang yang dirasmikan oleh Msgr Gilbert Lasius. Paderi Paroki KSFX itu dalam ucapannya berkata, program seperti sukan solidariti ini diharapkan dapat diteruskan sepanjang masa sebagai satu program tahunan paroki agar dapat memberi impak positif kepada muda mudi mahupun umat.

Tambahnya lagi, melalui sukan solidariti ini bukan hanya membentuk kesatuan antara sesama tetapi kebolehan atau talenta dalam bersukan dapat diasah. Klerus itu berpesan kepada umat bahawa keutamaan penganjuran sukan solidariti bukanlah tentang menang atau kalah sebaliknya memupuk semangat kebersamaan, “Penganjuran ini adalah untuk semangat kebersamaan, di mana dalam tema pastoral keuskupan kita dimulai dengan Umat Tuhan yang berjalan bersama. Jadi kita berjalan bersama melalui sukan solidariti ini”, jelasnya.

Pengerusi Zon Liau, Edmund Limun mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan untuk menjadi tuan rumah bagi sukan solidariti kali ini dan memohon maaf jika terdapat sebarang kekurangan sepanjang program berlangsung.

Di samping itu, pengerusi Komiti Sukan Dan Rekreasi KSFX, Charles Jupili, turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan penganjuran sukan solidariti ini dengan adanya kerjasama dan kesepaduan yang mantap daripada semua umat.

Beliau juga berharap agar melalui sukan solidariti ini, ia dapat memupuk persahabatan yang erat selain mempromosi kesihatan tubuh dan mental yang baik serta dapat mengamalkan semangat berdaya saing secara sihat dalam semangat kesukanan.

Acara diakhiri dengan pengumuman  KSFX, Zon Toboh Laut dan Zon Senagang sebagai tuan rumah Sukan Solidariti Peringkat Paroki KSFX bagi tahun 2025.

Peserta sukan badminton sedang beraksi