Uskup Cornelius membuat penandaan minyak Krisma semasa Misa Kudus pada 22 Mei lalu
Oleh Juanis bin Marcus
26 Mei 2021
KENINGAU – Menjelang Hari Pentakosta, seramai 118 calon telah menerima Sakramen Krisma pada Misa Kudus yang diadakan di Dataran Keuskupan Keningau pada 22 Mei lalu, khusus untuk calon Krisma di bawah Paroki Katedral St Francis Xavier Keningau.
Uskup Cornelius Piong yang memimpin Misa Kudus tersebut, menegaskan bahawa Sakramen Krisma adalah peluang terbaik untuk menghidupkan semula Roh Kudus yang kita terima semasa pembaptisan tetapi tidak mampu berkarya dalam hidup kita, kerana mungkin atas kelalaian kita.
”Bagaimana untuk kita dapat mengikuti Kristus? Dalam Lukas 9:23, setiap mereka yang ingin mengikuti Aku, harus tidak mementingkan diri (menyangkal diri), memikul salibnya dan mengikut Aku.
“Namun, kita sedar bukan mudah untuk mengikut Kristus, oleh sebab itulah Yesus mengutus Roh Kudus sebagai penolong. Roh Kudus yang akan mengajarkan, mengingatkan kita tentang ajaran-ajaran Kristus agar kita tidak terumbang-ambing dalam kehidupan ini,” ulas prelatus.
Prelatus juga mengingatkan kepada semua penerima Krisma yang rata-ratanya adalah belia, agar menerima Sakramen tersebut kerana benar-benar ingin mengikuti Yesus.
“Janganlah menerima Sakramen Krisma kerana terpaksa, kerana hanya mahu kahwin sahaja,” tambah prelatus lagi.
Ucapan syukur dan terima kasih juga dizahirkan oleh Puan Mary Intang, pengerusi Tim Pembimbing Krisma Pusat (Katedral St Francsi Xavier Keningau). Ini adalah kerana kerjasama di antara para pembimbing dan calon Krisma itulah yang menyebabkan semua pembelajaran dalam buku SKM10 (Siri Katekatik Malaysia 10) berjaya dihabiskan, meskipun dalam kekangan masa di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.
Semoga karismawan dan karismawati terus menghidupi ajaran-ajaran Roh Kudus dalam kehidupan mereka.