
Oleh Clarence Dol
RANAU – Pesta Hati Maria Yang Tak Bernoda yang disambut di Gereja St Victor Bongkud, Ranau pada 13 Jun 2025 mengajak umat Katolik meneladani kasih, kelembutan, ketaatan dan kepercayaan penuh Bonda Maria kepada Tuhan dalam setiap cabaran kehidupan.
Dalam homilinya, Fr Jalius Joannes Sading menjelaskan bahawa hati manusia ialah tempat lahirnya perasaan, kehendak dan keputusan, namun Hati Maria Yang Tak Bernoda istimewa kerana sentiasa terbuka kepada kehendak Tuhan serta bebas daripada kejahatan, kebencian dan kepentingan diri.
Beliau menegaskan bahawa Maria menerima setiap peristiwa, sama ada kegembiraan mahupun penderitaan, dengan penuh iman kerana yakin semuanya mempunyai tujuan dalam rancangan Tuhan. Sebagai contoh, Maria tetap tabah ketika menyaksikan sengsara dan kematian Yesus di kayu salib kerana percaya bahawa melalui pengorbanan Kristus, keselamatan diberikan kepada seluruh umat manusia.
Fr Jalius turut mengupas kasih mendalam seorang ibu melalui peristiwa Yesus yang hilang dan ditemui semula di Bait Tuhan. Kasih Maria terhadap Yesus menjadi teladan kepada ibu bapa agar tidak berputus asa dalam membesarkan anak-anak, sebaliknya terus berharap dan berserah kepada Tuhan. Beliau juga mengingatkan anak-anak supaya menghormati ibu bapa, mencontohi Yesus yang tetap taat kepada Maria dan Yosef sepanjang kehidupan-Nya di Nazaret.
Selain itu, beliau menyeru umat menjadikan Keluarga Kudus Nazaret sebagai contoh dengan meletakkan Tuhan sebagai pusat kehidupan keluarga serta tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga walaupun aktif dalam pelayanan gereja. Fr Jalius turut menekankan kepentingan doa rosari sebagai amalan harian yang membantu umat semakin dekat kepada Yesus melalui perantaraan Bonda Maria.
Mengakhiri homilinya, beliau mengajak umat terus memperbaharui diri melalui pertobatan dan kehidupan yang lebih suci. Walaupun hati manusia tidak sesempurna Hati Maria Yang Tak Bernoda, setiap orang dipanggil untuk bangkit daripada dosa, memohon pengampunan Tuhan dan terus bertumbuh dalam iman dengan meneladani kehidupan Bonda Maria.
















































