
Oleh Clarence Dol
RANAU – Kekudusan bukan hanya untuk individu yang diiktiraf sebagai santo dan santa oleh Gereja, sebaliknya merupakan panggilan Tuhan kepada setiap umat beriman untuk menghayati ajaran Yesus Kristus dalam kehidupan seharian.
Perkara itu ditekankan oleh Fr Ambrose M Atang dalam homilinya sempena Misa Kudus Hari Raya Semua Orang Kudus di Gereja St Peter Claver Ranau (SPCR) pada 1 Nov 2026.
Menurut beliau, para kudus merupakan manusia biasa yang memilih untuk menghidupi ajaran Kristus dengan penuh kesetiaan, keberanian dan pengorbanan, meskipun berhadapan penderitaan serta penganiayaan demi mempertahankan kebenaran.
Mengulas Sabda Bahagia dalam Injil, beliau menjelaskan bahawa Yesus menunjukkan jalan menuju kekudusan melalui kehidupan yang berlandaskan kebenaran, kerendahan hati, belas kasihan dan kesetiaan kepada iman.
Beliau turut mengingatkan bahawa kekudusan bukan dicapai melalui kekuatan diri semata-mata, tetapi melalui iman dan rahmat Tuhan. Justeru, umat digalakkan mengenali kehidupan para kudus serta meneladani nilai pelayanan, pengorbanan dan kasih terhadap sesama manusia.
Fr Ambrose juga mengajak umat menghayati identiti sebagai anak-anak Tuhan melalui Sakramen Pembaptisan dengan mengamalkan tiga keutamaan Kristian, iaitu iman, harapan dan kasih, serta menjadikan Yesus sebagai pusat kehidupan.
Mengakhiri homilinya, beliau menyeru umat menjadikan perayaan tersebut sebagai dorongan untuk terus berusaha mencapai kekudusan tanpa mengira latar belakang atau kedudukan.
Dalam Misa Kudus itu, beliau turut memberkati dan mendoakan para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan seperti SPM dan STPM agar diberikan ketenangan, kebijaksanaan serta kejayaan.







































