
Oleh Sr Chennisia Seting, SSFS
SUBANG JAYA – Semangat berjalan bersama dalam iman dan persaudaraan terus diperkukuh apabila Archdiocesan Bahasa Malaysia Apostolate (ABMA) mengadakan program jangkauan bersama Komuniti Umat Bahasa Malaysia (KUBM) Gereja St Thomas More, Subang Jaya, pada Okt 10 yang lalu.
Program tersebut bertujuan mendekati, mendengar dan mendampingi anggota KUBM St Thomas More yang baharu ditubuhkan tahun ini.
Suasana penuh kemesraan dan keterbukaan sepanjang program memberi ruang kepada peserta untuk saling mengenali, berkongsi pengalaman hidup serta memperkukuh iman dan persaudaraan.
Melalui sesi perkongsian yang terbuka, peserta berpeluang meluahkan pengalaman serta mendengar kisah sesama mereka tanpa prasangka atau penghakiman.
Salah seorang peserta, Cindy Palitoh, menyifatkan program tersebut sebagai pengalaman bermakna buat dirinya dan anaknya.
“Program ini sangat bermakna buat saya dan anak saya. Selain mengenali anggota ABMA dan peserta lain, perkongsian yang menyentuh hati turut mengajar saya erti empati dan kesyukuran,” katanya.
Cindy turut merakamkan penghargaan kepada ABMA kerana meluangkan masa bersama komuniti tersebut dan berharap program seumpamanya dapat diteruskan.
Sementara itu, Royneld yang pertama kali menyertai program anjuran ABMA melahirkan rasa gembira dan teruja dengan pengalaman tersebut.
“Ini merupakan pengalaman pertama saya mengikuti program ABMA. Saya sangat teruja dan bersemangat sepanjang program berlangsung, khususnya ketika sesi perkongsian bersama peserta lain dan anggota ABMA,” kata Royneld.
Lebih daripada sekadar pertemuan, program jangkauan tersebut membuka ruang untuk saling mendengar, memahami dan menyokong antara satu sama lain. – Herald Malaysia







































