
By CSG KENT
TAMPARULI – Catholic Student Group IPG Kampus Kent (CSG KENT) telah menganjurkan Program Welcoming Junior Party (WJP) bagi sesi 2026/2027 yang berlangsung pada 12 Sep 2026 di Chapel St Anthony The Great Kauluan, Tamparuli. Program ini dianjurkan khas bagi para pelajar Katolik yang menuntut pengajian di IPG Kampus Kent, Tuaran, khususnya pelajar baharu ambilan PPISMP dan PDPP, serta semua pelajar Katolik yang belum mengenali CSG Kent dengan lebih mendalam.
Program Welcoming Junior Party (WJP) merupakan acara tahunan wajib yang dianjurkan oleh Catholic Student Group (CSG) Kent bagi menyambut dan meraikan kehadiran ahli-ahli baharu ke dalam keluarga besar CSG. Mengangkat tema “Sebagaimana Kristus sudah menyambut kamu, sambutlah satu sama lain untuk memuliakan Tuhan” (Roma 15:7), program ini dirancang khas untuk membantu para pelajar baharu menyesuaikan diri dengan persekitaran kampus menerusi pembinaan jalinan persahabatan, perkongsian pengalaman, dan memupuk semangat kekitaan dan persaudaraan.
Fasa awal di institusi pengajian tinggi sering mendatangkan pelbagai cabaran, terutamanya bagi para pelajar yang jauh daripada keluarga. Perasaan keseorangan, kesukaran untuk menyesuaikan diri, serta cabaran dalam mempertahankan iman merupakan antara realiti yang sering kali dihadapi. Oleh sebab itu, WJP dilaksanakan bukan sekadar sebagai majlis suai kenal biasa, tetapi berfungsi sebagai bantuan rohani dan emosi yang memperkenalkan peranan serta fungsi CSG Kent sebagai sebuah komuniti yang sentiasa bersedia berjalan bersama mereka.
Menerusi program itu, para peserta dibawa untuk sentiasa bertumbuh dalam iman Katolik, saling menguatkan, serta merenungkan panggilan Tuhan untuk melayani. Perkongsian daripada ahli CSG dan alumni turut memberi pendedahan awal mengenai realiti kehidupan kampus. Menerusi pelaksanaan WJP, para pelajar diharap dapat membina keyakinan diri yang kukuh agar sentiasa berpegang teguh kepada ajaran Kristus dan mendepani pelbagai cabaran sepanjang tempoh pengajian dengan iman yang teguh.
Bagi mencapai matlamat tersebut, pelbagai pengisian aktiviti disusun dari pagi hingga ke malam. Atur cara bermula dengan pendaftaran, sarapan, sesi puji-pujian, serta doa pembukaan. Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan, pengenalan WJP, dan taklimat keselamatan oleh AJP 3K. Suasana kemudiannya disemarakkan dengan aktiviti Ice Breaking bagi menceriakan hubungan sesama peserta, sebelum diteruskan sesi Renungan Tema untuk Roma 15:7.
Program diteruskan lagi dengan sesi pengenalan CSG Kent serta perkongsian berinspirasi daripada para alumni yang mendedahkan realiti kehidupan di kampus. Pengisian program diteruskan lagi dengan aktiviti seperti Faith Quest, Talk with Jesus, The Good Shepherd Challenge, dan Walk with Jesus. Kemuncak acara diraikan menerusi sesi khas Celebrating The Junior sebelum program diakhiri dengan aktiviti gotong-royong kebersihan. Keseluruhan aktiviti ini dirancang khusus untuk memupuk kebersamaan, menyemai semangat kerja berpasukan, serta memperkukuh keteguhan iman dan kepimpinan para peserta dalam mendepani cabaran di alam kampus.
Pengarah Program WJP 2026, Elven, turut menzahirkan penghargaan mendalam kepada barisan Jawatankuasa Pelaksana (LP), Ahli Jawatankuasa (AJP), dan para peserta atas komitmen luar biasa sepanjang program berlangsung. Walaupun diuji dengan kekangan masa, pertukaran tarikh, lokasi penganjuran dan kesibukan tugasan akademik, kehadiran serta sumbangan setiap individu disifatkan amat berharga dalam menghidupkan suasana WJP. Beliau berharap agar nilai persahabatan serta ikatan kekeluargaan yang terbina dalam komuniti CSG Kent akan terus bersemarak, sejajar dengan motto CSG Kent, “Once CSG, Always CSG! Mogiampot Mamanau!”
Secara keseluruhannya, penganjuran Welcoming Junior Party (WJP) 2026 berjaya mencapai objektifnya dengan mewujudkan semangat persaudaraan yang kukuh serta memperteguh iman para peserta. Program itu bukan sahaja menjadi titik permulaan bagi para pelajar baharu untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan kampus, malah membina landasan kukuh untuk mereka terus berjalan bersama dalam pelayanan. Diharapkan agar semangat kebersamaan dan ikatan kekeluargaan yang terbina sepanjang program itu terus bersemarak, sekali gus melahirkan komuniti CSG IPG Kampus Kent yang bersatu padu, dinamik, dan sentiasa berdaya maju pada masa hadapan.










































