
Herald Malaysia
IPOH – Kira-kira 700 tetamu menghadiri majlis makan malam amal bagi mengumpul dana untuk Asrama Shalom Marian yang membantu anak-anak Orang Asli daripada komuniti Temiar di Gua Musang, Kelantan, meneruskan persekolahan di Ipoh.
Majlis yang berlangsung di Dewan Bro John Moh, SMJK Sam Tet, pada Okt 10 itu dihadiri Kardinal Sebastian Francis, Uskup Pulau Pinang; Ahli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee Chuan How; Msgr Stephen Liew serta wakil pelbagai denominasi Kristian, para paderi, religius dan penyumbang.
Inisiatif yang diterajui Joseph Boon Chai, pengasas dan pengerusi Light of Shalom Society Malacca, menyediakan tempat tinggal serta sokongan pendidikan kepada kanak-kanak berusia tujuh hingga 17 tahun sehingga mereka menamatkan Tingkatan Lima dan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Pada 2025, Keuskupan Pulau Pinang menyediakan bekas premis Tadika Mariaville Good Shepherd di Tambun untuk dijadikan asrama yang kini menempatkan kira-kira 50 pelajar Orang Asli.
Dengan kos operasi RM48,000 sebulan, asrama itu menyediakan penginapan, makanan, pengangkutan dan kelas tambahan secara percuma, selain pembentukan iman serta kemahiran hidup bagi mengurangkan risiko keciciran persekolahan.
Dalam ucapannya, Ahli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee, menegaskan bahawa pendidikan berkualiti merupakan hak setiap kanak-kanak, termasuk Orang Asli.
Sementara itu, Kardinal Sebastian Francis menghargai sokongan para penyumbang dan sukarelawan sambil menegaskan bahawa setiap sumbangan merupakan pelaburan untuk masa depan anak-anak Orang Asli.
Prelatus itu turut mengimbas lawatannya ke perkampungan komuniti tersebut pada 2025 dan Ogos 2026 bagi memahami harapan keluarga terhadap pendidikan anak-anak mereka. – Herald Malaysia









































