
Shalom semua! Saya Elven, lembaga pengarah program WJP kali ini. Bila tengok kita semua dapat berkumpul hari ini, saya rasa sangat bersyukur. Sebab di sebalik semua senyuman dan gelak tawa ini, ada banyak perkara yang kami lalui untuk sampai ke sini.
Mula-mula, kami pening mencari tempat. Tiga kali kami cuba, tiga kali juga tidak dapat sebab gereja sudah digunakan. Tarikh program pun terpaksa ditukar daripada 29 Ogos ke 12 Sep sebab ramai yang tidak dapat hadir pada tarikh asal. Mencari tajaan pun merisaukan juga. Ada masa saya tertanya-tanya, cukupkah bajet kami untuk semua peserta?
Dalam masa yang sama, saya sedang menjalani praktikum IPG. Siang fikir pasal kelas dan persediaan mengajar, malam pula fikir pasal WJP. Kadang-kadang saya memang penat. Tapi saya tetap mau program ini jadi sesuatu yang bermakna untuk semua. Sebab itu kami cuba fikir permainan yang lebih kreatif, termasuk aktiviti yang jarang dibuat dalam WJP sebelum ini. Kami mau peserta bukan sekadar datang dan ikut program, tapi dapat ketawa, bekerjasama, dan pulang dengan kenangan yang akan mereka ingat.
Ada saatnya saya rasa tidak cukup kuat untuk urus semuanya. Tapi setiap kali itu juga, Tuhan hadirkan orang yang membantu saya. CMT, CMO, AMT Lembaga Pengarah dan AJP yang lain sanggup ikut idea-idea saya, yang ingatkan benda yang saya terlupa, dan yang tetap ada walaupun rancangan berubah berkali-kali. Kepada para penyumbang, semua yang mendoakan, dan setiap peserta yang hadir terima kasih dari hati saya.
Saya mungkin pengarah program, tapi saya tidak pernah menjayakan WJP ini seorang diri. Hari ini mengingatkan saya bahawa apabila satu jalan tertutup, Tuhan masih bekerja melalui orang-orang yang Dia letakkan di sisi kita. Semoga WJP ini membawa kita lebih dekat kepadaNya dan kepada satu sama lain. Segala puji dan syukur bagi Tuhan! ❤️

Shalom dan salam sejahtera kepada semua. Saya Ayden Ian Tonny dari opsyen TESL SJKC 2. Hari ini, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk berkongsi sedikit pengalaman manis saya sepanjang mengikuti program WJP, sebuah acara belia Katolik yang sangat berkesan dalam hidup saya.
Jujurnya, sebelum program ini bermula, saya rasa sangat gementar dan takut. Saya bukanlah seorang yang kerap atau aktif mengikuti aktiviti gereja, jadi timbul rasa risau jika saya tidak dapat menyesuaikan diri atau gagal mencari rakan baharu. Namun, sebaik sahaja saya melangkah kaki dan sampai di St Anthony the Great, segala tanggapan dan kerisauan itu hilang serta merta. Saya terus disambut mesra oleh para senior dengan senyuman yang begitu manis dan hangat.
Rasa takut yang tadinya menjadi bebanan berat dalam fikiran terus menjadi perkara yang paling kurang saya rasakan. Sepanjang program ini, saya berpeluang berkenalan dan berkawan rapat dengan ramai orang, terutamanya para senior yang sangat peramah dan sentiasa membimbing kami dengan penuh kasih.
Selain suasana keakraban yang luar biasa, aktiviti-aktiviti yang dijalankan juga sangat seronok, berkesan, dan melatih kami untuk bekerjasama. Tidak lupa juga, hidangan makanan yang disediakan sepanjang program sangat sedap dan sentiasa membangkitkan semangat kami untuk meneruskan setiap sesi!
Secara keseluruhannya, pengalaman di WJP bukan sahaja memberikan saya rakan rakan baharu yang hebat, malah ia telah membuka hati saya untuk merasai kasih Kristian yang sebenar. Melalui persekutuan, doa, dan aktiviti bersama, saya merasa jauh lebih dekat dengan Tuhan. Pengalaman ini benar benar menguatkan iman saya dan menjadi memori indah yang tidak akan saya lupakan. Terima kasih WJP!











































