
Oleh Vatican News
Bapa Suci Leo telah menyampaikan pesanan video sempena sambutan Hari Misi Sedunia yang ke-100, yang diraikan pada 18 Oktober 2026. Dalam video tersebut, beliau merenung tema “Satu dalam Kristus, Bersatu dalam Misi” serta menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyokong sambutan tahunan ini sepanjang abad yang lalu.
Beliau memulakan dengan memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan atas “buah-buah yang melimpah” yang dikurniakan kepada Gereja sejak Bapa Suci Pius XI menetapkan Hari Misi Sedunia 100 tahun yang lalu.
Bapa Suci mengimbas kembali bahawa pendahulu beliau berusaha untuk memperdalam kesedaran tentang tugas misionari di setiap keuskupan dan paroki, menggalakkan doa bagi penginjilan dan panggilan misionari, serta menyokong usaha Persatuan Misi Kepausan.
Bapa Suci Leo kemudian merenungkan bagaimana usaha-usaha ini membantu membentuk panggilannya sendiri.
“Apabila menoleh kembali ke masa muda saya, saya dapat melihat bagaimana doa-doa yang dipanjatkan kepada Tuhan yang empunya tuaian telah secara misteri membantu mempersiapkan hati saya untuk menyahut panggilan Yesus supaya mengikutNya sebagai seorang misionari Augustinian,” ujarnya. Beliau menambah bahawa doa dan sumbangan umat beriman telah menyokong usaha misinya di Peru serta usaha ramai lagi misionari di seluruh dunia. “Oleh sebab itu, saya ingin menzahirkan rasa terima kasih yang tulus ikhlas kepada semua pihak yang telah menyokong sambutan Hari Misi Sedunia selama ini,” tambahnya.
Satu keluarga dalam Kristus
Beralih kepada tema tahun ini, Bapa Suci Leo menekankan kepentingan memupuk perpaduan Gereja dalam mengikuti Kristus, khususnya melalui komitmen bersama untuk menyebarkan perkhabaran penyelamatan Injil.
Beliau menjelaskan bahawa melalui Pembaptisan, setiap orang menjadi anggota Tubuh Kristus dan mempunyai “peranan unik dalam menyumbang kepada karya penyelamatan Yesus”.
“Tuhan kita memanggil kita untuk bekerjasama sebagai satu keluarga, dengan bantuan Roh Kudus, bagi membawa semua orang di mana jua ke dalam persekutuan iman di dalam Kristus.”
Sebuah misi cinta
Bapa Suci mengulangi semula rayuan yang dibuat dalam perutusan beliau sempena sambutan ulang tahun keseratus itu, bertarikh 25 Jan 2026, dengan mengajak semua pihak untuk menyumbang mengikut panggilan serta anugerah yang telah mereka terima.
“Marilah kita semua bertekad untuk menyumbang kepada misi agung penginjilan — yang sememangnya merupakan suatu usaha yang didorong oleh kasih,” serunya.
Doa dan sokongan praktikal, tambahnya, membantu membawa “Injil kasih Tuhan kepada semua orang, terutamanya golongan yang paling miskin dan mereka yang paling memerlukan”.
Mengakhiri pesanan videonya, Bapa Suci Leo mengucapkan terima kasih kepada umat beriman atas segala usaha mereka untuk meneruskan warisan Hari Misi Sedunia serta menyokong dengan murah hati misi penginjilan Gereja di seluruh dunia.
Sumber: Pope for Mission Sunday: Evangelisation is always a work of love (Terjemahan)










































