
Oleh Adrian Sikajat (Soccom CCR)
KOTA MARUDU – Program Pembangunan Rohani Gabungan Catholic Charismatic Renewal (CCR) Kota Marudu, Dontozidon dan Kota Belud telah diadakan di Gereja St Gerald Salimandut, Kota Marudu pada 15 Ogos 2026.
CCR St Paul Dontozidon menghantar rombongan seramai 25 orang yang terdiri daripada Core Group dan Assistant Core Group bagi menyertai program tersebut. Program itu bertujuan memberi pendedahan kepada umat St Gerald Salimandut mengenai CCR, mengembangkan iman serta mengukuhkan persekutuan rohani dalam pelayanan antara St Paul Dontozidon, St Theresa Kota Marudu dan St Edmund Kota Belud.
Antara fokus utama program adalah membantu umat memahami CCR dan asal permulaannya dalam Gereja Katolik, mengenali fungsi serta peranan Roh Kudus dan karisma dalam kehidupan umat beriman, serta memahami tanggungjawab sebagai murid Kristus yang menghidupi dan melaksanakan firman Tuhan.
Program turut diserikan dengan perayaan Misa Kudus yang dipimpin oleh Fr Jack Johimi. Pertemuan itu menjadi satu kesempatan yang bermakna untuk membina persaudaraan, mengukuhkan iman dan menyemarakkan semangat pelayanan dalam kalangan komuniti CCR.
Semoga persekutuan ini terus mengeratkan hubungan antara umat dan mengembangkan pelayanan CCR dalam bimbingan kuasa Roh Kudus. Tuhan memberkati.








































