
Oleh CHOICE BM Kota Kinabalu
BUNDU TUHAN – Seramai 21 orang muda telah menyertai Hujung Minggu CHOICE Kota Kinabalu 3 yang telah berlangsung pada 28 hingga 30 Ogos 2026 di Pusat Retret Bundu Tuhan, Sabah (BTRC).
Sepanjang tiga hari tersebut, para peserta dibawa melalui pelbagai sesi perkongsian dan renungan yang membuka ruang untuk mereka melihat kehidupan dari perspektif yang lebih luas. Bagi sesetengah peserta, perjalanan itu bermula dengan rasa ingin tahu dan persoalan tentang CHOICE. Namun, pengalaman yang dilalui membawa mereka kepada sesuatu yang lebih mendalam daripada sekadar mencari jawapan.
Peserta menyedari bahawa kedamaian tidak semestinya datang daripada keadaan yang sempurna, tetapi daripada hati yang belajar melihat kebaikan dan berkat Tuhan dalam setiap keadaan. Renungan peribadi sepanjang program menjadi ruang untuk mereka mengenali kehadiran Tuhan dalam pengalaman kehidupan yang dilalui.
Pengalaman dalam Hujung Minggu CHOICE diharapkan terus memberi makna selepas ia berakhir. Setiap perkongsian, pengajaran dan renungan yang diterima boleh menjadi bekalan untuk diterapkan dalam kehidupan seharian.
Bagi orang muda yang ingin mengenali diri dengan lebih mendalam dan memperbaharui hubungan dengan Tuhan, sertailah CHOICE. Bermula hanya dengan satu hujung minggu, namun di sebalik keberanian untuk berkata “YA”, mungkin ada sesuatu yang Tuhan sedang sediakan.
Datang, alami sendiri dan temui apa yang Tuhan ingin tunjukkan dalam perjalanan hidup anda.
Perkongsian peserta
Shalom.
Saya ingin berkongsi sedikit pengalaman mengikuti Program Hujung Minggu CHOICE. Sejujurnya, saya tidak mempunyai sebarang ekspektasi tinggi terhadap program ini. Namun, satu perkataan menggambarkan pengalaman saya menyertai CHOICE iaitu heal.
Melalui CHOICE, saya berpeluang mengenali diri dengan lebih mendalam dan memperbaharui hubungan saya dengan Tuhan. Kadang-kadang, kita memang memerlukan satu ruang untuk berhenti seketika, duduk diam bersama Tuhan Yesus, tanpa gangguan duniawi dan tanpa perlu memikirkan apa-apa. Just being there with Him.
Melalui setiap perkongsian, saya benar-benar merasakan bahawa kita sebenarnya tidak pernah bersendirian dalam setiap pergumulan yang kita lalui. Kadang-kadang, kita hanya perlukan satu ruang untuk berhenti, mendengar dan membiarkan Tuhan menyentuh bahagian diri kita yang selama ini kita sembunyikan.
Terima kasih, CHOICE. ❤️ -Trisia CBM3KK
Shalom.
Pada awalnya sebelum mengikuti Program Hujung Minggu CHOICE, saya datang dengan pelbagai tanda tanya dan tanggapan tentang program ini. Namun, sangkaan saya ternyata jauh tersasar kerana pengalaman yang saya lalui ternyata jauh lebih bermakna daripada apa yang saya jangkakan.
Melalui CHOICE, saya belajar untuk berhenti sejenak dan merenung kembali perjalanan hidup saya di mana Tuhan tidak pernah jauh daripada saya, malah sentiasa hadir dalam setiap keadaan yang saya lalui.
Bagi saya, CHOICE bukan sekadar sebuah program keagamaan, tetapi ruang untuk mengenali diri dan mendekatkan diri kepada Tuhan.
Saya mungkin tidak dapat mengubah segala-galanya selepas CHOICE, tetapi saya mahu membawa pulang satu kesedaran: dalam apa jua keadaan, kasih dan bimbingan Tuhan sentiasa menyertai saya.
Akhir kata, one YES can open many more doors to many other YES-es in life. Kadang-kadang, satu keberanian untuk berkata “YA” boleh membawa kita kepada pengalaman dan peluang yang tidak pernah kita sangka. CHOICE is not just an experience. It is a choice to live differently, with God. – Esther Merious, CBM3KK
Shalom.
Panggilan saya mengikuti CHOICE bermula daripada rasa ingin tahu. Tahun lalu, saya pernah melihat seorang rakan berkongsi tentang CHOICE di media sosial. Setelah setahun hasrat saya untuk mengikuti program ini, akhirnya saya berpeluang mengikuti CHOICE ke-3 di Pusat Retret Bundu Tuhan pada tahun ini.
Pada awalnya, saya tidak mempunyai apa-apa jangkaan selain ingin mengetahui apakah sebenarnya CHOICE. Dalam suasana keheningan, banyak perkara baru yang membuatkan saya sedar akan diri sendiri dan menemukan kembali sesuatu yang sudah lama hilang.
Terima kasih Tuhan kerana melalui CHOICE, saya diberi ruang untuk mengenali, menghargai dan mengasihi diri sendiri. Kini saya semakin memahami bahawa mengasihi diri bukan bererti mementingkan diri, tetapi belajar menjaga diri supaya kita mampu mengasihi dan melayani sesama dengan lebih ikhlas.
Kini saya semakin mengerti maksud firman Tuhan, “kasihilah sesamamu manusia seperti dirimu sendiri.” Rupanya, kasih kepada sesama juga bermula dengan belajar menerima dan mengasihi diri sendiri. – Catherine, CBM3KK
Shalom dan salam damai.
Sebelum mengikuti CHOICE, saya mempunyai banyak persoalan kerana rakan-rakan yang pernah menyertainya hanya berkata, “kau joinlah dulu.” Jawapan itu membuatkan saya semakin berkobar-kobar ingin mengetahui apakah sebenarnya CHOICE.
Sepanjang program, perkara yang paling memberi kesan kepada saya ialah berdamai dengan diri sendiri, mengenali diri dan belajar menjadi pendengar yang baik. Selama ini, saya sering membandingkan diri dengan orang lain dan merasakan diri saya tidak mempunyai banyak bakat atau kelebihan. Namun, CHOICE membantu saya melihat diri dengan perspektif yang berbeza. Walaupun perubahan itu tidak berlaku 360 darjah, sedikit demi sedikit saya mula menerima dan menghargai diri saya selepas 37 tahun dalam pergumulan diri.
Bagi para belia di luar sana, setiap daripada kita pernah bergumul dengan pemikiran negatif tentang diri sendiri. Selagi kita masih berpijak di bumi yang nyata, itu adalah perkara yang normal. Namun, kita tidak perlu menghadapinya seorang diri. Marilah kita terus mengandalkan Tuhan dan berani menyahut panggilan-Nya melalui program-program gereja terutama sekali dalam program Hujung Minggu CHOICE.
Seperti dorongan Bapa Suci Leo kepada golongan belia, marilah kita berani diri menyahut seruan Tuhan dalam pelbagai cara dan kaedahNya termasuklah melawan arus negatif seperti sikap acuh tak acuh (indifference), kepalsuan dan gangguan digital yang boleh mematikan jiwa.
Sekian, Tuhan memberkati. – Jessel CBM3KK
Shalom.
Pada awalnya, saya sebenarnya tidak pernah tahu atau mendengar tentang CHOICE. Saya menyangka kem ini sama sahaja seperti kem belia yang pernah saya sertai sebelum ini. Jadi, saya mendaftar tanpa benar-benar mengetahui apa yang bakal saya lalui.
Melihat kembali semua yang berlaku, saya semakin percaya bahawa rencana Tuhan itu sangat indah. Daripada saat saya mendaftar, perjalanan sembilan jam ke BTRC, rasa takut dan tidak bersedia, sehinggalah tiba di BTRC. Saya percaya bahawa perjalanan saya ke CHOICE bukanlah sesuatu yang berlaku secara kebetulan malahan Tuhan yang memanggil dan membuka hati saya untuk datang ke CHOICE.
Bagi saya, CHOICE bukan sekadar kem untuk memperdalam kehidupan rohani. CHOICE menjadi ruang untuk saya sedar bahawa saya tidak bersendirian dalam menjalani kehidupan sebagai seorang Katolik dan menghadapi cabaran kehidupan masa kini.
Saya belajar bahawa Tuhan kadang-kadang menjawab persoalan kita melalui orang yang tidak kita kenal, satu perbualan, satu perkongsian atau satu pengalaman. Apa yang kita anggap sebagai kebetulan mungkin sebenarnya sebahagian daripada rencana Tuhan.
Kepada para belia, jangan takut untuk membuka hati dan menyahut panggilan Tuhan. Kita mungkin rasa belum bersedia atau tidak tahu apa yang menanti. Tetapi percayalah bahawa Tuhan tidak akan membiarkan kita berjalan seorang diri. Kadang-kadang, kita hanya perlu berani mengambil satu langkah pertama. Mungkin langkah kecil itu akan membawa kita kepada sesuatu yang Tuhan sudah sediakan.
Menjadi sebahagian daripada keluarga CHOICE juga adalah satu panggilan. Jadi, kalau suatu hari nanti kamu dipanggil untuk datang ke CHOICE, jangan takut untuk menyahut. Mungkin bukan kamu yang mencari CHOICE, tetapi sebenarnya Tuhan yang sedang mencari kamu. – Faroywell CBM3KK











































