Uskup Cornelius Piong bersama pemimpin Gereja di Keuskupan Keningau semasa Misa Pelancaran Gereja Sinodal 17 Okt 2021
Oleh Juanis bin Marcus
18 Okt 2021
KENINGAU – Frasa “berjalan bersama” bukanlah sesuatu yang asing bagi Keuskupan Keningau, malahan ia telah ada sejak awal penubuhannya. Frasa ini juga sangat bersesuaian dengan undangan Bapa Suci Fransikuss untuk gereja global melakukan sinode (berjalan bersama) melalui “Komuniti, Partisipasi dan Misi”. Menyedari pentingnya hal ini, Keuskupan Keningau tanpa berlengah melancarkan Gereja Sinodal pada 17 Oktober lalu di Dataran Keuskupan Keningau.
Pelancaran ini disempurnakan oleh Yang Mulia Uskup Cornelius Piong selepas Misa Minggu ke-29, dan lebih istimewa kali ini lebih kurang 300 umat dapat mengikuti upacara ini selepas kelonggaran yang telah diberikan oleh pihak kerajaan.
“Hari ini adalah hari yang istimewa, apabila kita akan melancarkan Gereja Sinodal yang bertemakan “Komuniti, Partisipasi dan Misi”. Mungkin ada yang bertanya apakah itu Gereja Sinodal? Gereja Sinodal adalah umat yang berjalan bersama,” ulas Uskup Cornelius semasa homili.
Mengulas lanjut, Uskup Cornelius menyatakan tiga hal penting yang perlu bagi mencapai tujuan Gereja Sinodal ini iaitu, hidup berkomuniti, aktif berpartisipasi dan umat gereja yang mempunyai misi. Ulas Prelatus lagi, hidup berkomuniti adalah kita menyedari makna komuniti itu.
Contoh yang paling mudah, adalah menyelami hubungan Tuhan Tritunggal sendiri, yang menurutnya adalah berdasarkan semangat komuniti yang sejati. Prelatus juga berharap bermula dari keluarga, KKD, KUK, ZON, Paroki dan Keuskupan khususnya dapat hidup berkomuniti dengan cara yang serupa.
Partisipasi pula adalah kita melibatkan diri bukan sahaja dalam aktiviti gereja tetapi juga aktiviti sosial yang memerlukan keterlibatan umat dan membawa kebaikan bersama.
“Saya masih ingat, kalau dulu-dulu, asyik orang yang sama sahaja melayani kerana kurangnya partisipasi yang lain,’ katanya. Hidup sebagai umat gereja pula adalah bermakna kita ini mempunyai misi. Selepas kita dibaptis, misi kita adalah menjadi “garam” kepada dunia, bermakna kita memberi pengaruh yang baik kepada mereka yang lain, bukan sebaliknya di mana kita pula yang dipengaruhi oleh perkara-perkara negatif.
Simbolik pelancaran dimulakan dengan tayangan video klip maksud Gereja Sinodal, ucapan pelancaran oleh Uskup Cornelius dan akhirnya penyerahan banting kepada pengerusi-pengerusi zon di Paroki Keningau. Semasa ucapan pelancaran, prelatus berpesan, “Menjadi kerisauan saya, apabila pemimpin, paderi, katekis, religius dan pengerusi-pengerusi itulah yang menjadi penghalang utama dalam merealisasikan gereja sinodal ini. Diharapkan ini tidak berlaku, janganlah menjadi penghalang tersebut.”