Pembaptisan salah seorang katekumen di Katedral Hati Kudus pada 26 Ogos

By Richard Angkis

29 Ogos 2020

KOTA KINABALU – Tahun 2020 merupakan tahun mencabar bagi seluruh umat Katolik dan manusia di seluruh dunia amnya akibat menularnya pandemik baru yang dikenali sebagai COVID-19. Ia telah mengubah gaya hidup manusia dari kebiasaan kepada gaya baru yang membolehkan muka bumi dan alam sekitar menjadi tenang dan segar semula.

Begitu juga para katekumen di Katedral Hati Kudus bahagian BM yang memasuki proses terakhir pembaptisan telah terhenti akibat penutupan ibadat gereja. Namun tempoh bertenang ini memberi masa bagi mereka untuk merenungkan kembali niat sebenar mereka untuk mahu mengikuti Tuhan Yesus Kristus.

Akhirnya tepat pada waktunya, ketenangan dan penantian mereka diwarnai dengan kegembiraan apabila mereka dipanggil untuk meneruskan proses pembaptisan dalam tiga peringkat dengan norma baru diluar kebiasaan setiap tahun.

Upacara Tobat Satu sehingga Tiga, Penyerahan Syahadat Para Rasul dan Doa Tuhan diadakan pada 29 Julai 2020 dalam situasi dingin tanpa kehadiran umat Paroki. Upacara yang lazimnya diadakan pada Sabtu suci dirayakan pada 12 Ogos. 

Puncak kegembiraan mereka disempurnakan pada 26 Ogos di mana seramai 14 orang telah menerima sakramen baptis, 59 orang menerima Inisiasi dan lima orang diterima ke dalam persekutuan penuh dengan Gereja Katolik. Kesemua upacara ini disempurnakan oleh Paderi Paroki Fr Paul Lo dibantu oleh Pembantu Paderi Paroki Fr Sunny Chung dan Fr Russell Lawrine. 

Walaupun keadaan agak muram kerana terpaksa mematuhi SOP PKPP ditambah pula upacara dijalankan tanpa kehadiran ahli keluarga dan umat paroki, namun kelihatan diriak wajah mereka tergambar kegembiraan tak terkatakan.

Wajah yang tertutup pelitup muka dan penjarakan selamat diperhatikan tidak menjadi penghalang bagi mereka untuk memuliakan Tuhan atas karunia pembaptisan yang telah lama mereka idamkan. Semoga pengalaman yang mereka lalui dalam masa COVID-19 ini mengajari mereka erti pengharapan, ketabahan, ketenangan dan kedamaian dalam Tuhan. 

Penerimaan ke dalam persekutuan penuh dengan Gereja Katolik

Baptisan baru bersama paderi paroki Fr Paul Lo