Dua pasukan bersama pengetua dan barisan penolong kanan serta dua guru penasihat kuiz

Oleh Jamini Francis, Gambar oleh Tim Guru BK

29 Ogos 2020

SANDAKAN – Dua pasukan daripada SMK Konven St Cecilia, Sandakan telah mewakili Sabah untuk kali ke-empat berturut-turut sejak tahun 2017 dalam Pertandingan Kuiz Bible Knowledge SPM di peringkat kebangsaan.

Program anjuran Malayan Christian Schools’ Council ini telah bermula pada 27 Jun sehingga 1 Ogos 2020 dan disertai seramai 2,322 peserta di seluruh negara.

Berbeza dengan tahun sebelumnya, kuiz kali ini telah dijalankan atas talian (online) susulan pandemik virus Covid-19.  

Dalam pertandingan di peringkat negeri Sabah, kedua-dua pasukan SMK Konven St Cecilia ini telah Berjaya mendapat tempat pertama dan kedua.

Manakala dalam keputusan di peringkat kebangsaan, dua pasukan tersebut telah meraih tempat keempat dan keenam daripada 13 pasukan di seluruh negara. Ini merupakan satu pencapaian terbaik sejak tahun 2017.

Pasukan yang mendapat tempat keempat diwakili oleh Evelyn Aguinaldo dan Yvonne Isabel Chong manakala pasukan yang mendapat tempat keenam diwakili oleh Starr Hiew dan Crissy Albert Liow. 

Dalam pada itu, di peringkat Sandakan, para pelajar yang menduduki kuiz Bible Knowledge sejak 27 Jun lalu dan mencapai prestasi terbaik telah mendapat insentif penghargaan daripada Ketua Bahagian UPKO Libaran juga Majlis Tertinggi UPKO Malaysia Dr Peter Jr Naintain.

Menurut beliau, penghargaan ini adalah sebagai penyuntik semangat dan motivasi kepada pelajar terutamanya yang mengambil subjek Bible Knowledge dalam SPM.

Selain kedua-dua pasukan peringkat akhir mendapat insentif, Dr Peter turut memberi penghargaan kepada 21 pelajar lain yang mewakili empat  Sekolah Misi di Sandakan iaitu SM St Mary, SM St Cecilia, SM Sung Siew dan SM St Michael serta seorang daripada peserta tersebut adalah dari Gereja Anglican Indah, Sandakan.

Majlis penghargaan telah diadakan pada 12 Ogos 2020 bertempat di SM St Mary, Sandakan.

Salah satu pasukan yang menyertai Pertandingan Kuiz Bible Knowledge melalui atas talian (online)