Oleh Johannes Jimmy
Mar 29 2021
KE ARAH PAROKI YANG GEMILANG… Ucap paderi paroki St Michael Penampang, Fr Wilfred Atin, apabila diminta merenung tentang proses transformasi yang sedang giat berlaku secara berperingkat di gereja St Michael.
Antara proses perubahan yang berlaku adalah penggantian gambar-gambar peristiwa suci ‘Jalan Salib’ daripada gambar lukisan tangan kepada seni ukiran kayu pada dinding utama dalam gereja.
Fr Wilfred berkata Misi dan Visi paroki iaitu menuju ke arah kegemilangan gereja, juga mengetengahkan sejarah kehadiran serta perkembangan gereja Katolik yang penuh dengan khazanahnya.
Kini Komiti Arkib, Galeri & Ziarah bersama Jawatankuasa Harta dan Kewangan Paroki sama-sama sedang giat merealisasikan terjemahan paparan seni dan budaya ini bukan saja dari segi rohani tetapi juga penghayatan fizikal.
Altar suci gereja juga telah dilakukan pengubahsuaian di mana sekarang ia menggambarkan kesenian kayu yang diselaraskan dengan gambar latar belakang kewujudan gereja St Michael puluhan tahun dahulu, semasa sebahagian besar daerah Penampang masih lagi diliputi dengan hijau belantara.