Para peserta Program Pembentukan Pelayanan Katekis Paroki dan Pemimpin Umat Awam (PUA) bagi tahun 2024 bergambar bersama Fr Rayner Bisius dan Fr Mitchelly Kiun pada 6 Apr 2024 di Gereja St Theresa, Kota Marudu (SOCCOM paroki St Theresa, Kota Marudu)

Oleh SOCCOM St Theresa, Kota Marudu

May 2 2024

KOTA MARUDU – Pada 6-7 Apr 2024 diadakan Kursus Pembentukan Pelayanan Katekis Paroki dan Pemimpin Umat Awam (PUA) di Dewan Paroki St Theresa, Kota Marudu.

Program ini merupakan anjuran Komiti Katekis (KOKAM) paroki St Theresa Kota Marudu di bawah usaha koordinator KOKAM, Katekis Joseph Monten Majudar.

Tujuan utama pelaksanaan program ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada para PUA dan memberikan penyegeran kepada para Katekis Paroki mengenai peranan dan tanggungjawab sebagai seorang katekis. Selain itu, ia juga merupakan usaha berterusan KOKAM bagi menyediakan katekis pelapis. Lagi pula, terdapat beberapa orang katekis senior yang sudah berehat wajib kerana telah mencapai usia 70 tahun.

Program tersebut telah bermula dengan Misa Kudus Jumaat pertama bagi bulan April yang juga merupakan aktiviti pertama bagi semua peserta program. Dalam homilinya, Fr Rayner Bisius memberi dorongan kepada semua peserta yang hadir agar terbuka dan siap untuk melayani di ladang Tuhan sebagai seorang Katekis Paroki dan PUA.

Dalam sesi pertama, Fr Rayner Bisius telah menyentuh tentang aspek kerohanian sebagai seorang Katekis Paroki dan sebagai seorang PUA. Seterusnya, sesi kedua oleh Sr Olga James (FSIC) pula menyentuh mengenai topik ‘Pelayanan Sebagai Seorang Katekis’.  Dalam sesi ketiga oleh Fr Mitchelly Kiun menyampaikan tentang ‘Bagaimana Mengendali Upacara Pertunangan dan Kematian’.

Pada akhir sesi para peserta  diberikan bimbingan dan penyelarasan tentang ‘Penggunaan Buku Ibadat Sabda Tanpa Kehadiran Paderi’. Keseluruhan sesi telah berjaya ditamatkan sekitar jam 1.00 petang di mana turut diadakan sesi soal jawab.

Program selesai dengan merakamkan album kenangan bersama-sama dengan para penceramah dan gotong-royong menyusun dan membersihkan dewan.