
Oleh Stella Eming Dydimus
KUALA PENYU – Upacara pemberkatan dua buah sekolah di bawah naungan Lembaga Sekolah-sekolah Mission Kuala Penyu pada 24 Mei 2026 oleh Fr Roney Mailap menjadi peristiwa penting dan bersejarah bagi komuniti umat Kristian di sekolah tersebut. Ini adalah kerana sejak awal penubuhan kedua buah sekolah tersebut, belum ada rekod tentang pemberkatan sekolah-sekolah itu. Dua buah sekolah tersebut ialah SK St Stephen, Kiaru dan SK St Joseph, Kabunau.
Bangunan pertama Sekolah St Stephen, Kiaru, dibina pada tahun 1960 dan digunakan pada awal bulan Januari tahun 1961 di atas tanah seluas 3.90 ekar yang terletak dalam tanah milik Sekolah Mission di Kampung Kiaru atas tanah tinggi.
Guru besar pertama di sekolah itu ialah Christianus Anjun. Sejak penubuhannya, seramai 10 orang guru besar telah bertugas di sekolah itu dan Ijap Bin Kumandu merupakan guru besar sekolah itu sekarang. Kebanyakkan murid-muridnya datang dari persekitaran Kg Kiaru, Kg Jangkit dan Kg Sawangan.
Sekolah St Joseph pula ditubuhkan pada 4 Jun 1963 oleh seorang paderi bernama Fr Geest, di atas tanah seluas kira-kira dua ekar. Guru besar pertama sekolah itu ialah Vitalis Juin. Pada tahun 2002, tapak sekolah dan seluruh kawasan kepunyaan tuan tanah atas nama satu geran seluas 7.63 ekar telah dibeli oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) dan merupakan satu-satunya sekolah mission di daerah Kuala Penyu yang tapak bangunannya milik JPNS. Sehingga kini seramai sembilan orang guru besar telah bertugas di sekolah tersebut dan guru besar sekarang ialah Jackson Juin Tanyuh.
Fr Roney bersama dengan beberapa orang Pembimbing Ibadat Sabda (PIS) memulakan upacara pemberkatan dengan pemercikan air berkat di luar dan dalam bangunan yang ada di SK St Stephen, Kiaru terlebih dahulu sebelum bergerak ke Sk St Joseph, Kabunau yang berjarak lebih kurang lapan kilometer.
Ijap Bin Kumandu dalam ucapan beliau menyatakan kesyukuran diatas pemberkatan sekolah tersebut dan memohon agar sekolah itu terus didoakan khasnya untuk umat Tuhan yang bertugas mahupun yang menuntut ilmu di sekolah itu.
Dalam ucapan kesyukuran, Fr Roney Mailap menyatakan bahawa upacara pemberkatan itu juga merupakan suatu kesempatan untuk melihat tempat anak-anak bertumbuh dan dididik bukan sahaja dari segi rohani malah jasmani serta perkembangan intelek mereka. Ini bersesuaian dengan visi dan misi para missionaris terdahulu iaitu memberi pendidikan awal kepada anak-anak untuk menimba ilmu dan mengenal Tuhan. Segala aktiviti dan program sekolah terutamanya untuk pembangunan dan kejayaan sekolah di bawah kapasiti guru besar akan sentiasa disokong.
“Semoga kita terus berjalan bersama di dalam membangun anak-anak di bawah naungan para kudus St Stephen dan St Joseph,” kata Fr Roney.








































