
Oleh Stella Eming Dydimus
KUALA PENYU – Sesuai dengan sambutan minggu Pentakosta, satu Retret Hidup Baru Dalam Roh anjuran Komiti Umat Katolik (KUK) St Simon Purun bersama Komuniti Tritunggal Mahakudus (KTM) telah diadakan di Gereja St Simon, Purun pada 22-24 Mei 2026.
Seramai 84 peserta dari Paroki St Peter Kuala Penyu dan beberapa peserta dari Paroki Beaufort, Membakut dan Bongawan turut menyertai retret tersebut. Para penceramah jemputan adalah dari Kongregasi Puteri Karmel dan Carmelitae Sancti Eliae (CSE) dari Pertapaan Kaigaran.
Misa Kudus pembukaan retret itu dipimpin oleh Fr Brywinedren Godon. Dalam homilinya, dia menyatakan betapa perlunya Roh Kudus dalam hidup manusia dalam menghadapi cabaran hidup.
Sesi pertama pada malam itu dimulakan dengan ceramah yang bertajuk Cinta Kasih Tuhan. Cinta adalah aspek penting dalam hidup manusia malah merupakan satu keperluan. Tuhan merupakan sumber utama cinta dan hubungan manusia dengan Tuhan adalah melalui doa. Tuhan itu adalah Kasih dan Kasih itu adalah Tuhan.
Hari seterusnya, para peserta retret diperkenalkan dengan Doa Yesus. Terdapat dua jenis doa iaitu doa vokal (doa dengan suara yang kedengaran) dan doa batin (didoakan dalam hati). Intipati utama Doa Yesus ialah hadir dihadapan Yesus dengan menyerukan namaNya dengan penuh iman, harapan dan kasih.
Sesi kedua disampaikan oleh Fr Andreas, CSE menerangkan tentang Yesus Penyelamat di mana dia memulakan sesi dengan tayangan video bagaimana manusia awal jatuh ke dalam dosa dan kehidupan manusia setelah jatuh dari dosa. Yesus datang ke dunia bukan untuk menghakimi tetapi menyelamatkan manusia dari dosa, kesia-siaan hidup dan dari kuasa kegelapan.
Seterusnya, dengan tajuk Hidup Baru oleh Sr Christina, Puteri Karmel menerangkan bahawa, untuk menerima hidup baru, haruslah menerima Yesus sebagai Tuhan dan Juruselamat. Manusia mengenal Bapa dan Roh Kudus melalui Yesus yang menjadi manusia. Karya keselamatan manusia terus berlaku hingga saat ini di mana Roh Kudus yang diutus Bapa dan Putera kepada manusia setelah Yesus naik ke syurga. Roh Kudus yang ada dalam diri manusia menjadikan kita sebagai manusia baru dan rahmat yang diberikan oleh Roh Kudus akan menyempurnakan kudrat manusia.
Sesi berikutnya bertajuk Menerima Karunia Tuhan oleh Bro Francis, CSE menerangkan bahawa untuk menerima karunia Tuhan iaitu Roh Kudus, pertama-tama manusia haruslah bertaubat. Tiga aspek penting pertaubatan ialah kejujuran, kerendahan hati dan penyangkalan diri. Seterusnya, manusia harus meminta dan percaya. Tuhan sendiri berjanji akan memberikan Karunia Roh KudusNya asalkan kita meminta kepadaNya. (Luk 11:9-13)
Pada sebelah petang pula, diadakan sesi kaunseling dan ibadat pertaubatan sebagai persiapan untuk malam Pencurahan Roh Kudus dikendalikan oleh Brothers CSE dan Sisters Puteri Karmel.
Sesi selanjutnya iaitu Bahasa Roh menerangkan karunia rohani yang diberikan oleh Roh Kudus, membolehkan seseorang berdoa atau memuji Tuhan menggunakan bahasa yang tidak difahami oleh akal budi manusia. Karunia ini berkait rapat dengan doa peribadi yang mendalam dan gerakan Pembaharuan Karismatik Katolik (PKK)
Melalui sesi Pencurahan Roh Kudus, para peserta didorong untuk membuka hati bagi menerima dan menjalankan hidup baharu melalui bimbingan Roh Kudus.
Retret diakhiri dengan Misa Kudus yang dirayakan oleh Fr Roney Mailap. Beliau mengingatkan para peserta akan pentingnya kesedaran dan pertumbuhan dalam kehidupan rohani selepas menerima karunia Roh Kudus.
Sepanjang retret itu diadakan, makanan dan minuman disediakan oleh Kerasulan Wanita Katolik St Simon Purun bagi memastikan setiap peserta dapat mengikuti retret dengan selesa.









































