
Oleh Diakon Isaac Alfred Simbun
TANJUNG MALIM – Gereja Most Holy Redeemer, Perak telah mengadakan Misa Hari Para Kudus dengan penuh makna pada 2 Nov 2026, di mana ia menghimpunkan para umat, pelajar universiti, serta anggota Komuniti Kristian Dasar (BEC) tempatan.
Sebagai sebahagian daripada perayaan tersebut, para pelajar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersama beberapa belia paroki mempersembahkan watak beberapa orang kudus muda Gereja dengan memakai pakaian simbolik yang menggambarkan kehidupan serta kesucian mereka.
Antara yang ditampilkan ialah Sto Carlo Acutis, Sta Maria Goretti, Sto Francisco dan Sta Jacinta Marto dari Fatima, Sto Pier Giorgio Frassati, Sto Tarsisius dari Roma, Sta Filomena dari Itali, Sta Cecilia dari Roma, Sta Agnes dari Roma dan Sto Pedro Calungsod dari Filipina.
Pemilihan para orang kudus itu dibuat kerana mereka merupakan teladan kesucian yang unggul, khususnya sebagai anak muda yang berani mempertahankan iman mereka.
Kehidupan mereka mencerminkan keberanian, kesetiaan kepada Injil, serta komitmen untuk hidup dalam kasih Tuhan, nilai-nilai yang menjadi inspirasi besar bagi para belia masa ini.
Untuk memperkukuhkan pemahaman umat tentang kehidupan serta keutamaan heroik mereka, Diakon Isaac dalam khutbahnya memperkenalkan secara ringkas teladan para orang kudus.
Fokus utama adalah kehidupan Sto Carlo Acutis yang dikenali sebagai “Putera Ekaristi,” seorang remaja yang menggunakan kemahiran digitalnya untuk menyebarkan mukjizat Ekaristi. Iman yang sederhana namun mendalam, kasihnya kepada orang miskin, dan kesetiaannya kepada doa menunjukkan kedewasaan rohani yang luar biasa pada usia mudanya.
Penghayatan watak para orang kudus mengingatkan umat bahawa semua orang, termasuk golongan muda, dipanggil kepada kekudusan melalui iman, kasih dan pengorbanan. Perayaan turut disertai doa dan berkat khas bagi pelajar, belia serta keluarga.
Sambutan diserikan dengan pameran lebih 100 relik kelas pertama, kedua dan ketiga daripada lebih 30 orang kudus, termasuk Sto Antonius dari Padua dan Sta Faustina Kowalska, yang dibawa oleh Pasukan Relik, Komisi Kateketikal Keuskupan Pulau Pinang.
Kemuncaknya ialah pengisytiharan rasmi Sto Carlo Acutis sebagai Sto penaung belia dan mahasiswa UPSI di Paroki Most Holy Redeemer, Tanjung Malim, disertai penampilan patungnya setinggi tiga kaki.
Pihak paroki masih dalam proses permohonan relik Kelas Pertama Sto Carlo Acutis untuk diletakkan di Gereja ini. – Herald Malaysia







































