Sr Patricia Limun membincang dan mempromosi Ziarah Keluarga Kudus. dalam sesi radio online Kekitaanfm Nov 30
Oleh Didiroy Joneh
Dis 3 2020
KENINGAU – Paroki Katedral St Francis Xavier akan menganjurkan program Ziarah Keluarga Kudus yang akan diadakan di Pusat Ziarah Keluarga Kudus, Nulu Sosopon sepanjang bulan Disember 2020, dengan kemuncak perayaan pada Perayaan Pesta Keluarga Kudus pada 29 Disember kelak.
Pengerusi penganjur Katekis Gilbert Timun berkata Ziarah kali ini adalah sebagai persiapan dan aksi rohani keluarga dan juga komuniti setempat dalam masa Adven.
Radio Kekitaanfm turut mengundang team pelaksana yang diwakili oleh Sr Patricia Limun bagi tujuan memperkenal dan mempromosi program kali ini. Semasa ditemubual di Studio Radio, Sr Patricia berkata ini masanya kita sebagai keluarga berkumpul dan berziarah bersama-sama sambil merenungi dan mencontohi kehidupan keluarga kudus Nazareth.
Tambahnya lagi Pesta kali ini akan bermula pada 4 – 23 Dis. Pusat Ziarah dibuka setiap Rabu dan Jumaat sepanjang adven sehingga kemuncak perayaan pada hujung Disember nanti. Menariknya dalam masa ziarah ini terdapat pengisian yang disediakan iaitu pembaharuan janji perkahwinan.
Program ziarah kali ini membawa tema “Memantapkan Iman Keluarga”. Ianya bukan sahaja dibuka kepada umat di sekitar paroki KSFX, tetapi juga kepada paroki lain yang dibenarkan untuk merentas daerah, mereka namun perlu menghubungi team pelaksana terlebih dahulu.
Tambah Sr Patricia lagi umat perlu selalu peka dan ingat bahawa SOP perlu sentiasa dipatuhi dari masa ke semasa bagi memastikan tiada masalah akan timbul kelak.
Di dalam homilinya semasa Misa sebelum ini, Uskup Datuk Cornelius Piong berkata kita sebagai umat Allah perlu peka dan syukur terhadap keluarga kita masing-masing sepertimana kata Sri Paus Francis “tidak ada keluarga yang sempurna di dunia ini namun pembangunan iman keluarga penting untuk masyarakat dan gereja”.
Ujar Uskup lagi pada zaman kini terdapat banyak pengaruh negatif di sekeliling kita yang mampu meruntuhkan semangat kekeluargaan, justeru sebagai umat Allah kita harus sentiasa berpusat dan berfokus kepada yang mencipta keluarga dan menginginkan keluarga supaya hidup sesuai dengan kehendaknya iaitu Tuhan Allah itu sendiri.
Di hujung temubual bersama Kekitaanfm, Sr Patricia berkata pelbagai cabaran datang dalam keluarga terutamanya pasangan suami isteri masa kini, justeru dia menasihati supaya keluarga sentiasa teguh dalam iman pengharapan dan menjadikan Kristus sebagai orang ketiga dalam keluarga, kerana melaluiNyalah keluarga kita membangun dan berpusat kepada Kristus.