
Oleh Alex Among
Gereja Katolik St Catherine of Laboure, Putatan dibina di atas sebidang tanah yang didermakan oleh mendiang Catherine Moinin@Enging, terletak di Kampung Imbaan, Putatan Sabah.
Cadangan pembinaan Gereja St Catherine of Laboure, Putatan itu diilhamkan pada Feb 2008 oleh mendiang Fr Fundes Motiung, Datuk Marcus Mojigoh, Datuk Stephen Laison Sondoh JP, Tony Mojigoh, Dr Ar Tan Jung Kwang dan beberapa orang lagi, untuk menampung keperluan umat Katolik sekitar Putatan bagi tahun-tahun mendatang.
Namun kerja-kerja awal pembinaan Gereja itu hanya dapat dimulakan pada 12 Jan 2013 dengan berbekalkan modal permulaan sebanyak RM1.8 juta, hasil sumbangan Kerajaan Negeri dan orang ramai bagi menyiapkan Gereja itu yang dijangka menelan belanja sebanyak RM10.4 juta, menurut anggaran dan kos bahan binaan pada ketika itu. Setakat Jun 2025, kerja-kerja struktural telah hampir 80 peratus siap.
Oleh kerana dana yang terhad, kerja-kerja pembinaan telah beberapa kali tergendala. Ketika pandemik Covid-19 melanda pada tahun 2019 hingga kini, kerja-kerja pembinaan telah terhenti sepenuhnya.
Pada lewat tahun 2023, Uskup Agung John Wong telah meminta Jawatankuasa Pemandu (Steering Committee) Pembangunan Gereja St Catherine Laboure Putatan, untuk mengaktifkan semula badan itu untuk menyiapkan Kompleks Gereja enam tingkat tersebut dalam tempoh terdekat.
Selepas beberapa siri lawatan tapak oleh Uskup Agung John Wong, maka Jawatankuasa Pemandu diaktifkan semula. Langkah pertama yang dibuat adalah dengan mendapatkan anggaran kos penyiapan Kompleks Gereja itu yang bakal menelan belanja sebanyak RM11.257.000.00. Sementara kos penyiapan Gereja di tingkat teratas sahaja adalah sebanyak RM6.282.222.01. Maka, atas nasihat Uskup Agung John, Jawatankuasa Pemandu memutuskan untuk meneruskan kerja-kerja penyiapan Gereja sahaja buat masa ini.
Dalam masa yang sama, Jawatankuasa Pemandu juga telah mendapat kelulusan Permit Polis untuk kutipan awam, Nombor Lesen: FTMT No.13/2024 DLM.61/6/5 dan sah sehingga 22 Okt 2024.
Tender bagi kerja-kerja penyiapan Gereja telah dikeluarkan pada 30 Apr 2025. Pada 19 May 2025, kontrak kerja telah diberikan kepada pembida yang layak.
Umat yang ingin memberikan sumbangan kepada pembinaan tersebut boleh merujuk kepada maklumat di bawah atau menerusi kod QR dalam poster di atas.