
Herald Malaysia
KLUANG, JOHOR – Seramai 56 peserta Kursus Evangelisasi Peribadi Ke-8 (KEP-8) dari Keuskupan Melaka-Johor dan Keuskupan Agung Kuala Lumpur menyertai retret perutusan selama tiga hari di Kluang, Johor, sebagai kemuncak perjalanan pembentukan iman selama hampir lima bulan.
Bertemakan “Biarlah sabda Kristus menetap di dalam hatimu” (Kolose 3:16), retret tersebut mempersiapkan peserta untuk menjadi saksi Kristus dan mewartakan Khabar Baik dalam keluarga, komuniti serta kehidupan seharian.
Misa pembukaan dipimpin oleh Romo Yohanes Suradi dari Keuskupan Bogor, Indonesia, dengan pendampingan Yacobus Ngadinum dan Antonius Tony Wahyu.
Sepanjang retret, peserta mengikuti tujuh sesi pembentukan yang menekankan identiti, pertobatan, kehidupan rohani dan tanggungjawab sebagai pewarta Injil. Mereka turut menyertai Perjalanan Emaus, adorasi Sakramen Mahakudus dan sesi kaunseling bagi memperdalam hubungan peribadi dengan Tuhan.
Program KEP-8 yang berlangsung dari Mei hingga September itu menggabungkan sesi dalam talian dan pertemuan bersemuka. Kursus tersebut bertujuan membantu umat menerima, menghayati dan mewartakan Khabar Baik, bermula dengan pembaharuan diri sebelum menjangkau orang lain.
Dalam perkongsiannya, Antonius Tony Wahyu berharap peserta yang telah diutus terus menghasilkan buah melalui pelayanan di paroki dan komuniti masing-masing.
Beliau turut mengingatkan bahawa pewarta Injil perlu sentiasa memperbaiki diri, bertumbuh dalam kematangan rohani dan mengekalkan dedikasi terhadap pelayanan.
Menggunakan gambaran sebatang pokok, beliau menekankan bahawa pertumbuhan dan hasil yang baik bergantung pada akar yang kukuh.
Demikian juga seorang pewarta Injil perlu berakar dalam Sabda Tuhan melalui doa, sakramen dan hubungan peribadi dengan Kristus.
Sementara itu, Msgr Peter Ng Lai Huat mengingatkan peserta bahawa pewartaan Injil perlu bermula dalam keluarga.
Menurut beliau, kasih, pengampunan, kesabaran dan keprihatinan terhadap ahli keluarga merupakan kesaksian iman yang nyata, khususnya dalam dunia yang semakin mencabar.
Retret tersebut turut meninggalkan pengalaman bermakna kepada peserta.
Suzirah Sarini dari paroki Our Lady of Guadalupe, Melaka, mengakui bahawa KEP membantunya mengatasi kekosongan diri dan menemukan kedamaian serta sukacita dalam Kristus.
“Sebelum mengikuti KEP, saya merasakan kekosongan. Selepas mengikutinya, saya berasa damai dan penuh sukacita,” katanya.
Bagi Justin Salinu dari paroki Divine Mercy, Sekudai, pengalaman mengikuti KEP membantunya mengatasi sifat pemalu dan memahami cara mewartakan Khabar Baik dengan lebih berkesan.
Verlika Johny dari paroki St Francis of Assisi, Cheras, pula berkata program tersebut memperkukuh imannya dan membantunya lebih peka terhadap bimbingan Roh Kudus.
“Jawablah panggilan Yesus dan jangan takut untuk berkata ‘Ya’ kepadaNya. Bukalah hati dan berilah peluang kepada Tuhan untuk mengubah hidup anda,” katanya.
KEP yang diperkenalkan di Keuskupan Malacca Johore sejak 2017 melalui usaha Antonius Tony Wahyu terus menjadi wadah pembentukan umat dalam misi evangelisasi Gereja.
Retret perutusan itu sekali gus mengingatkan peserta bahawa tamatnya kursus bukanlah pengakhiran perjalanan iman, sebaliknya permulaan tanggungjawab untuk menjadi saksi Kristus.
Dengan berakar kukuh dalam Sabda Tuhan, mereka diharapkan terus menghasilkan buah melalui pelayanan yang tulus serta membawa kasih dan sukacita Kristus kepada sesama. – Herald Malaysia









































