
Herald Malaysia
KUALA LUMPUR – Persidangan Uskup- Uskup Katolik Malaysia (CBCM) menyeru seluruh umat Katolik supaya bersatu dalam memperkukuh Caritas Malaysia sebagai wadah misi sosial kebangsaan yang menyelaras pelayanan serta membawa kasih Kristus kepada semua lapisan masyarakat.
Seruan itu disampaikan menerusi surat pastoral bertajuk “Satu Gereja, Satu Misi Sosial, Satu Malaysia”, yang ditandatangani Presiden CBCM, Uskup Agung Dato’ Dr Simon Poh, pada Nov 15, 2026, sempena Hari Orang Miskin Sedunia.
Dalam surat tersebut, para uskup menegaskan bahawa perkembangan ekonomi dan teknologi membawa peluang baharu, namun turut mewujudkan kerentanan yang memerlukan perhatian serta tindakan bersama Gereja.
Surat itu memetik Rasul Paulus yang mengingatkan umat: “Sebagaimana tubuh itu satu, tetapi mempunyai banyak anggota, dan semua anggota tubuh itu, walaupun banyak, merupakan satu tubuh, demikian juga Kristus” (1 Korintus 12:12).
Cabaran seperti jurang digital, kesukaran pekerja gig, nasib migran dan ketidakpastian masa depan golongan belia melangkaui sempadan keuskupan.
Justeru, sembilan keuskupan di Malaysia diajak mempererat kerjasama agar pelayanan sosial dapat dilaksanakan sebagai satu tubuh, berasaskan semangat kesatuan dalam kepelbagaian.
“Kita beralih daripada bekerja secara bersendirian, kepada bertindak sebagai satu tubuh,” menurut surat pastoral itu.
Para uskup menjelaskan bahawa pengukuhan Caritas Malaysia bertujuan memperkasakan usaha tempatan, menyelaras tindakan dan menyediakan satu suara Gereja yang bersatu serta berwibawa dalam perbincangan di peringkat kebangsaan.
Langkah tersebut akan menyokong pelayanan yang sudah dilaksanakan di setiap keuskupan, sambil memperkukuh hubungan dan kerjasama dalam menangani keperluan masyarakat.
Perhatian khusus turut diberikan kepada pekerja gig yang berdepan ketidakpastian pekerjaan, migran dan pelarian yang masih terpinggir, serta golongan belia yang menghadapi cabaran dalam ekonomi yang semakin dipacu kecerdasan buatan.
Para uskup mengingatkan bahawa di sebalik angka dan perkembangan ekonomi terdapat insan yang maruah serta kesejahteraannya perlu dibela.
“Semua ini bukan sekadar statistik; mereka ialah saudara-saudari kita,” tegas mereka.
Sehubungan itu, umat Katolik diajak menjadi sukarelawan dalam gerakan misi sosial kebangsaan dengan menyumbangkan masa, bakat dan suara mereka.
Para uskup turut menyeru pembaharuan tindakan melalui kreativiti dan semangat pelayanan, khususnya menerusi usaha yang membina pertemuan, kebersamaan dan sikap saling mengambil peduli di bandar serta kampung.
Dalam surat yang sama, CBCM merakamkan penghargaan kepada ribuan umat Katolik yang setia melayani, termasuk sukarelawan yang menyediakan makanan kepada golongan memerlukan, pembela hak migran dan pemimpin belia yang memperkasakan generasi muda.
Dedikasi mereka disifatkan sebagai kesaksian kasih yang nyata serta asas penting bagi perkembangan Caritas Malaysia.
Para uskup turut menegaskan bahawa misi sosial Gereja merangkumi pelayanan kepada seluruh masyarakat tanpa mengira agama, berlandaskan perintah Tuhan untuk mengasihi sesama seperti diri sendiri.
Mengakhiri surat tersebut, mereka mengajak umat mendoakan usaha berkenaan dan bersama-sama membina sebuah negara yang menjunjung maruah setiap insan, agar kasih Tuhan menjadi kenyataan yang dihayati dalam kehidupan masyarakat. – Herald Malaysia










































