
Oleh ASAYO KL
KUALA LUMPUR – Golongan muda dan para pendamping dari tujuh daerah dan 24 paroki berhimpun pada 23 Ogos bagi meneruskan proses pembentukan Archdiocesan Young People Council (AYPC).
Pertemuan yang dimulakan dengan doa oleh Pengarah Archdiocesan Single Adult and Youth Office (ASAYO), Fr Simon Lau, turut disertai pelayan pastoral kampus dan belia, animator serta pasukan pastoral ASAYO.
Uskup Agung Kuala Lumpur, Julian Leow, turut menyampaikan kata-kata semangat serta berkongsi visi Gereja yang berjalan bersama. Beliau mengingatkan golongan muda agar tidak memandang rendah sumbangan yang mampu diberikan oleh mereka.
Para peserta kemudian diajak untuk saling mengenali serta melihat rangkaian golongan muda dan pemimpin yang lebih luas di seluruh Keuskupan Agung.
Pertemuan itu memberikan peluang kepada para pemimpin muda untuk menghayati semula visi AYPC dan memperbaharui komitmen mereka.
Mereka diajak untuk tidak sekadar melihat diri sebagai wakil pelayanan masing-masing, tetapi sebagai sebahagian daripada rangkaian yang mendengar, meneliti, mendampingi dan melayani golongan muda di seluruh Keuskupan Agung.
Pada sebelah petang, Penyelaras ASAYO, Jacinta Fernandez, membentangkan visi dan struktur Pelayanan Golongan Muda Keuskupan Agung yang sedang di bangunkan.
Pelayan Pastoral Kampus, Jaclyn Tan, kemudian memimpin renungan bertemakan “Pelayanan Selamat, Diri Selamat dan Komuniti Selamat”. Sesi itu memberikan tumpuan kepada budaya yang perlu dibina bersama oleh para pemimpin muda.
Dalam sesi terakhir, Pembantu Pastoral KLCD, Michelle Anthony, serta Jacinta, membimbing para peserta melalui proses perbincangan bersama.
Golongan muda diajak mendengar, meneliti dan menyumbangkan pandangan bagi merangka inisiatif pada masa hadapan, termasuk R.E.A.L. Young Leaders’ Pathway.
Pertemuan diakhiri dengan doa yang dipimpin oleh Fr Michel Dass. Para peserta kemudian menikmati makan malam bersama dalam semangat persaudaraan yang ingin dipupuk oleh AYPC di seluruh Keuskupan Agung.
Apakah AYPC?
AYPC bukan sekadar kumpulan belia atau jawatankuasa acara, tetapi rangkaian sokongan, mendengar dan penelitian bersama yang menghubungkan pemimpin muda dari paroki, kampus dan komuniti dewasa muda. Tanpa menggantikan pelayanan setempat, AYPC menyediakan ruang untuk berkongsi pengalaman, menerima pembentukan dan sokongan serta memastikan suara golongan muda didengar dalam menentukan hala tuju pastoral Keuskupan Agung.
AYPC berasaskan empat komitmen utama:
Mendengar keperluan dan harapan golongan muda; meneliti dalam doa cara Gereja perlu menanggapinya; mendampingi dengan saling menyokong; dan melayani dengan membawa hasil pembelajaran kembali kepada komuniti.
AYPC ialah sebahagian daripada Ekosistem Golongan Muda Keuskupan Agung Kuala Lumpur yang menghubungkan pelayanan di paroki, kampus dan komuniti dewasa muda.
Berasaskan hasil MCYD 2025, pendekatan ini mengutamakan pendampingan, rasa kebersamaan dan penglibatan bermakna, dengan beralih daripada program kepada insan serta daripada melayani golongan muda kepada berjalan bersama mereka.
Visi AYPC dirumuskan dalam satu pesanan yang ringkas tetapi bermakna: “Pelayanan kita mungkin berlangsung di tempat masing-masing, tetapi kita tidak berjalan sendirian.”
Melalui AYPC, golongan muda yang melayani di seluruh Keuskupan Agung Kuala Lumpur diajak untuk mendengar, meneliti, mendampingi dan melayani.
Mereka dipanggil menyumbangkan pengalaman dan anugerah masing-masing sambil terus berjalan bersama sebagai sebahagian daripada Gereja yang lebih luas. – Herald Malaysia










































