
Herald Malaysia
BUKIT MERTAJAM – Umat Katolik dari pelbagai latar budaya dan etnik berhimpun dalam suasana penuh sukacita dan kesyukuran sempena Misa Kudus dan Fellowship Pesta Kaamatan, Gawai dan Kesyukuran 2026 peringkat Keuskupan Pulau Pinang yang berlangsung di Minor Basilika Sta Anna, pada 2 Mei lalu.
Mengangkat tema “Berakar dalam Kristus, Bersatu dalam Gereja melalui Tradisi dan Budaya”, perayaan itu menjadi lambang perpaduan umat dalam kepelbagaian budaya, sambil mengekalkan Kristus sebagai pusat kehidupan dan identiti Gereja.
Perayaan tersebut diserikan dengan kehadiran Kardinal Sebastian Francis yang memimpin Misa Kudus bersama umat dari pelbagai komuniti, khususnya masyarakat Sabah dan Sarawak yang menyambut Kaamatan dan Gawai sebagai tanda kesyukuran atas berkat Tuhan.
Dalam homilinya, Kardinal Sebastian menegaskan bahawa kehidupan iman perlu berakar teguh dalam Kristus agar umat mampu bertahan menghadapi cabaran dunia moden.
Merujuk kepada bacaan daripada Kisah Para Rasul, beliau mengingatkan bahawa pewartaan Petrus selepas kebangkitan Kristus telah membuka hati banyak orang untuk bertobat dan kembali kepada Tuhan.
Uskup Pulau Pinang itu turut mengajak umat untuk benar-benar mendengar suara Kristus sebagai Gembala Baik, sebagaimana dinyatakan dalam Injil Yohanes.
Menurut beliau, Yesus bukan sekadar pemimpin yang jauh, tetapi Gembala yang mengenali setiap umat secara peribadi dan memimpin mereka kepada kehidupan yang sejati.
Mengulas tema kesatuan Gereja, Kardinal menekankan bahawa tradisi dan budaya bukan penghalang kepada iman, tetapi boleh menjadi jambatan yang memperkayakan kehidupan Gereja apabila semuanya berpusat kepada Kristus.
Cara berdoa, bahasa tempatan, nyanyian dan adat budaya yang baik, katanya, mampu menjadi ungkapan kasih kepada Tuhan dan memperlihatkan keindahan Gereja yang pelbagai tetapi tetap satu dalam iman.
“Gereja itu satu, tetapi tidak seragam. Dalam kepelbagaian budaya dan tradisi, kita tetap dipersatukan oleh kasih Kristus,” katanya lagi.
Selain Misa Kudus, sambutan turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti kebudayaan dan fellowship termasuk pertandingan pakaian tradisi terbaik, permainan rakyat, pertandingan masakan tradisional serta persembahan nyanyian dan tarian.
Perayaan tersebut bukan sahaja memperlihatkan kekayaan budaya masyarakat Borneo, tetapi juga menjadi kesempatan untuk memperkukuhkan persaudaraan dan semangat kekitaan dalam Gereja tempatan. – Herald Malaysia















































