Upacara pemberkatan image Kerahiman Ilahi 

Oleh Martilena Tsen

Apr 12 2024

Sekali lagi kita umat yang percaya akan menyambut suatu pesta yang besar dimana suatu masa dahulu Yesus datang kepada Santa Faustina menyatakan bahawa pesta ini perlu dirayakan secara besar-besaran di seluruh dunia.

KKIP – Gereja Divine Mercy, KKIP telah membuat persiapan diri dengan doa Novena Kerahiman Ilahi selama sembilan hari. Ia bermula pada hari Jumaat Agung 29 Mar sehingga 6 Apr bagi menyambut Pesta Kerahiman ilahi hari penaung gereja.

Kerasulan Kerahiman Ilahi yang dipengerusikan oleh Stanley Ung menyarankan agar umat tidak ketinggalan untuk mahu menerima rahmat besar yang dijanjikan oleh Tuhan kita Yesus Kristus melalui kerahimanNya yang penuh belas kasihan di dalam Pesta Kerahiman Ilahi.

Maria Mikin dari tim Kerasulan Kerahiman Ilahi Keuskupan Kota Kinabalu dijemput hadir bersama di Gereja Divine Mercy, KKIP menjalankan novena hari kedua. Maria sempat berkongsi mengenai rahmat besar yang akan kita perolehi apabila merayakan Pesta Kerahiman Ilahi. Maria menambah bahawa rahmat pengampunan dosa adalah salah satu yang akan mereka terima.

Rahmat luar biasa ini akan kita terima hanya setahun sekali sahaja, di mana Tuhan berjanji untuk melupuskan segala dosa kita selama setahun di dunia dan juga api penyucian. Namun, semua ini akan kita perolehi sekiranya kita memenuhi syarat-syarat. Diantara syarat-syaratnya menjalani novena sembilan hari, mengaku dosa sebelum merayakan Pesta Kerahiman Ilahi, menyambut Tubuh dan Darah Kristus semasa misa, hidup didalam kekudusan dan yang paling penting ialah kita percaya kepada Tuhan sepenuh hati.

Misa Kudus Pesta kerahiman Ilahi

Misa Kudus Pesta Kerahiman Ilahi dipimpin oleh Fr David Sham.

Di dalam homilinya, beliau telah memberi tiga situasi yang berbeza namun ke arah satu matlamat yang sama iaitu “Berbahagialah orang yang tidak melihat, namun percaya” (Yoh 20:29).

 Situasi 1: Kehilangan orang yang kita kasihi

Walaupun secara fizikalnya mereka sudah meninggal dunia, namun pengalaman persahabatan, keakraban berdasarkan cinta kasih yang telah dialami semasa hidup bersama itu tetap hidup, tetap tidak hilang, tetap tinggal dan tetap bersama selamanya.

Situasi 2: Pertama kali makan cili padi yang pedas

Pengalaman makan cili padi yang pedas, seumur hidup kamu tidak akan melupakan rasa kepedasan cili padi ini. Bila ditanya, kamu pasti akan kongsikan pengalaman yang kamu rasai dan alami.

Situasi 3: Pengalaman bersama ibubapa

Pengalaman hidup bersama ibubapa; contoh hidup yang baik; tetap akan hidup, tetap akan hadir dalam kehidupan anak-anak. Iman sedemikian pasti senantiasa dapat dilihat, dirasai dan dialami. Bila anak-anak menjadi dewasa setiap perkara yang mereka alami akan mereka lakukan serta laksanakan, anak-anak akan menghargai serta membalas jasa ibu bapa tanpa di minta atau di tuntut.

Fr David Sham meneruskan homilinya dengan berkata, “Yesus yang penuh kerahiman hadir ditengah-tengah kita dan hidup bersama kita tanpa syarat dan tanpa batas. Seperti murid-murid Yesus yang terdahulu telah bersaksi tentang kasih yang dialami oleh mereka dan kita juga harus mencontohi serta melaksanakan tanggungjawab ini dengan sepenuh hati dan jiwa kerana Tuhan memandang hati.

“Kerahiman Tuhan kita dipenuhi sekali lagi melalui Sakramen Ekaristi yang kita terima di dalam Misa Kudus. Dia menyediakan kita santapan kehidupan kekal. Bukankah ini merupakan kesaksian yang paling terkesan ditengah-tengah kehidupan manusia?

“Tepat jam 3 petang, diamlah sebentar, tutup mata dan berikan Tuhan kita sedikit ruang. Ucapkan kesyukuran dengan penuh sukacita untuk Tuhan. Renungkan bersama dengan Dia di dalam kesengsaraanNya bertahan di atas kayu salib selama tiga jam sebelum menghembuskan nafas terakhir demi pengampunan dan penyelamatan umat manusia. Sembahlah Dia! Pujilah Dia!”

Selepas Misa Kudus, umat sekali lagi diundang bersama untuk acara fellowship sempena meraikan Pesta Kerahiman Ilahi.

Misa pelajar Tadika Divine Mercy diadakan pada 5 Apr 2024 bersempena dengan Pesta Kerahiman Ilahi yang jatuh pada 7 Apr. Kira-kira 120 orang hadir pada Misa Kudus yang dipimpin oleh Fr Sylvester Wong.

Fr David Sham memotong kek sebagai tanda kesyukuran selepas Misa Kudus