Diakon Morti Lambutan
Oleh Juanis Bin Marcus
Nov 5 2021
KENINGAU – “Kasih seorang Sahabat” yang dipetik dari Yohanes 15:13 adalah tema yang menjadi pilihan bagi Seminarian Morti Lambutan dalam pentahbisannya menjadi Diakon.
Misa Pentahbisan itu diadakan pada 30 Okt 2021 bertempat di Dataran Keuskupan Keningau yang dipimpin oleh Uskup Cornelius Piong.
Diakon Morti atau nama penuhnya, Bede Morti Lambutan berasal dari Daerah Nabawan. Dilahirkan pada 26 Mei 1991 dan menerima Sakramen Pembaptisan melalui Inisiasi Kristian Dewasa (IKD) pada 25 Mei 2008.
Beliau yang telah menamatkan persekolahannya di SRK Pekan Nabawan, SMK Nabawan, SMK Keningau dan mempunyai pengalaman bekerja sebagai kerani dan pengurus stor di Sabah Land Development Board (SLDB) dari tahun 2011-2012.
Beliau memasuki di rumah Pembentukan Catholic Diocesan Centre (CDC) sebagai aspiran pada tahun 2013 dan seterusnya Tahun Inisiasi pada tahun 2014 di St Peter College, Kota Kinabalu dan selanjutnya menjalani Tahun Falsafah dan Teologi pada tahun 2015 di St Peter Seminary, Kuching Sarawak.
Sebelum ditahbis sebagai Diakon, Morti telah melalui pendedahan Pastoral seperti Legion of Mary, Charismatic Renewal Movement and Children Liturgy, Hospital Sentosa, Cheshire Home, Home of Peace, Youth Ministry for CYM St Barnabas, Kg Skiat Lama, Bau, Campus Ministry Archdiocese of Kuching, Gereja St Theresa, Tambunan, Gereja St Anthony Bintulu, Sarawak dan akhir sekali di Katedral St Francis Xavier, Keningau.
Berucap semasa pentahbisan, Diakon Morti berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam pembentukannya. “Kita tahu panggilan itu adalah misteri, namun kerana semangat komuniti yang sering membantu saya sehingga saya dapat merungkai misteri panggilan itu. Anda semua adalah sahabat. Sahabat yang memancarkan Kasih Kristus,” katanya.
Dalam ucapan Uskup Cornelius Piong pula, uskup mengucapkan syabas kepada Diakon Morti dan menyeru semua pihak agar terus membantu Diakon Morti terutamanya dalam bentuk doa agar beliau dapat ditahbis pula menjadi paderi.
“Dulu, sikit sahaja umat yang melayani di Nabawan, tetapi usaha berterusan, seperti biji sesawi, kerajaan Tuhan berkembang perlahan-lahan, dan buktinya, adalah pentahbisan hari ini,” kata Uskup Cornelius mengakhiri ucapannya.