Para anggota polis dan keluarga berdoa bersama sempena Hari Polis ke-215 di Katedral Hati Kudus pada 24 Apr

Oleh Linda Edward

Apr 27 2022

KOTA KINABALU – “Polis dan Masyarakat, Berpisah Tiada” berikut tema sambutan peringatan Hari Polis ke-215 pada tahun ini.

Fr Sunny Chung, paderi pembantu paroki Katedral Hati Kudus berkata dengan tema ini, dia menjemput Komuniti Polis Kristian untuk menanam slogan baru dalam peribadi masing-masing yang hampir sama dengan tema tersebut, “Saya dan Yesus, berpisah tiada”.

Katanya, “Dalam segala hal, samada kehidupan peribadi, keluarga, masyarakat dan dalam panggilan tugas sebagai anggota keselamatan, benarkan kuasa Tuhan untuk memimpin kita.

“Agar setiap yang melihat peribadi kita, mengenali Yesus yang hadir dalam diri kita.”

Dia berkata ini semasa Misa Kudus sempena Hari Polis ke-215 di Katedral Hati Kudus di mana seramai 450 ahli Komuniti Kristian Polis Diraja Malaysia dari pelbagai denominasi, bersama keluarga mereka, berkumpul untuk berdoa bersama, pada 24 April.

Minggu tersebut juga merupakan Pesta Kerahiman Ilahi; Fr Sunny berkata pewartaan minggu tersebut membawa umat untuk menyedari akan belas kasih Tuhan terhadap manusia.

Peter Anak Umbuas

Hadir pada hari tersebut adalah Peter Anak Umbuas, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Siasatan dan Perundangan, Ibu Pejabat Kontinjen Sabah.

“Selain daripada aktiviti keagamaan, kami juga menganjurkan Hari Sukan dan Program Kepolisan Komuniti bersama orang awam yang mana kami juga memanggil pihak Gereja untuk membantu.

Mengenai berbelas kasih dalam tugas seorang polis, Peter berkata dia bersetuju dengan hal ini.

“Undang-undang dibangunkan berdasarkan adat dan kepercayaan. Dalam melaksanakan undang-undang, pihak polis melihat daripada semua sudut, samada kami harus mengikutnya dengan tegas atau mengikut keadaan.

“Kerana kita harus melihat kepada niat pesalah itu, samada ia adalah niat mala fide atau bona fide.

“Sekiranya ia adalah mala fide, iaitu niat jahat, maka kita harus membenarkan undang-undang itu dilaksanakan,” kata Peter.

Makan bersama selesai Misa Kudus kemudian diadakan di dewan paroki katedral sebagai satu komuniti Kristian besar.

Fr Sunny Chung, Peter Anak Umbuas dan para anggota polis memotong kek Sambutan Hari Polis ke-215

Setiap tahun komuniti ini akan berdoa bersama meraikan Hari Polis di gereja yang berlainan.

Tiada sambutan Hari Polis pada tahun 2020-2021 oleh kerana SOP Covid-19.

Pada tahun 2019, Misa Kudus Hari Polis telah diadakan di Gereja St Michael, Penampang.