Para peserta mengabadikan gambar kenangan selepas program selesai

Oleh AT soccom KB

Mei 13 2024

KOTA BELUD – Satu seminar Komuniti Kristian Dasar (KKD) anjuran Komiti Katekis Paroki pada 4 Mei 2024 di Gereja Paroki St Edmund Kota Belud. Seramai 203 umat yang hadir termasuk AJK Pelaksana. Bermula dengan Misa Kudus yang dipimpin oleh Paderi Paroki, Fr Jalius Sading.

Dalam homilinya, beliau berkata kalau kita mahu menjadi saksi Kristus maka kita harus terima apa yang Yesus lalui iaitu penganiayaan, kita pun akan melaluinya dalam hidup kita.

”Kita adalah milik Tuhan dan bukan milik dunia ini, itu sebabnya kita dianiaya oleh dunia, Roh Kuduslah yang menjadi kekuatan kita kerana Ia tetap melindungi kita. Seperti Paulus dan Silas yang selalu dianiaya ketika keluar pergi menginjil namun iman mereka tetap teguh kerana disemangati oleh Roh Kudus,” kata Fr Jalius.

Beliau juga menyentuh tentang tema seminar iaitu “Menjadi terang dan garam dunia.” Kita perlu masuk dalam kegelapan agar nampaklah Cahaya yang ada dalam diri kita dan menjadi Cahaya kepada orang lain. Masuk dalam ketawaran dan barulah kita menjadi garam kepada ketawaran orang lain. Fr Jalius mengharapkan agar seminar itu dapat mendidik para peserta/umat yang hadir untuk memulakan penubuhan KKD di chapel masing-masing.

Dalam seminar singkat itu, ada tiga sesi yang disampaikan oleh para penceramah yang dipilih dalam kalangan Katekis Paroki.

Sesi Pengenalan KKD disampaikan oleh Kat John Simpul diikuti oleh ceramah bertajuk ”Konsep-konsep KKD” disampaikan oleh Kat Damasus Simbih. Seterusnya Kat Suzie Augustine menerangkan tentang Kelompok Kitab Suci (KKS) tujuh-langkah, adalah salah satu dari pengisian dalam aktiviti KKD apabila sudah ditubuhkn nanti.

Dalam ucapan penggulungan, Fr Jalius diakhir seminar itu, berharap setelah KKD dibentuk, dapat menjangkau jiwa-jiwa umat yang terpencil dan memastikan mereka  tidak akan tertinggal lagi dengan adanya KKD ini. Fr Jalius juga menekankan betapa pentingnya KKS sebagai program utama KKD, namun terdapat juga program lain yang boleh dilakukan oleh KKD seperti harijadi keluarga KKD, berdoa rosari, melawat keluarga yang meninggal dan lain lain.

Walaupun Paroki Kota Belud agak ketinggalan dalam penubuhan KKD itu, namun berharap ianya berjalan lancar selepas seminar ini.