Seramai 13 belia paroki Inobong masuk kampung bersama Fr Rayner Bisius (topi merah) untuk misi Adven

Oleh Christina David (Sumber: Phobbie, TPBP Paroki Inobong)

Dis 6 2020

INOBONG – Hujan lebat turun seawal jam 6.00 pagi seolah-olah tidak merestui program yang akan kami jalankan namun ianya tidak mematahkan semangat 13 orang belia bersama Fr Rayner Bisius untuk meneruskan Misi musim Adven iaitu lawatan rohani ke Kampung Longkogungan, Kalanggaan dan Pengobonon.

Misi Adven ini berjalan dari 30 Nov – 3 Dec yang membawa umat di kampung tersebut untuk merayakan Misa, sesi pengakuan, perkongsian serta fellowship bersama paderi dan rombongan sebagai persiapan untuk menyambut kedatangan Natal.

Ketiga-tiga kampung ini merupakan kawasan stasiluar di bawah Paroki Holy Trinity Inobong yang terletak di kawasan banjaran Crocker yang jauh terpencil dari bandar.

Untuk sampai ke kampung yang pertama iaitu Kg Longkogungan telah mengambil masa 6-8 jam yang memerlukan ketahanan mental dan fizikal untuk berjalan kaki merentasi bukit, hutan, sungai serta serangan si pacat. 

Perjalanan masuk kampung merentasi hutan 

Perjalanan masuk kampung merentasi sungai

Biasanya umat gereja di kampung tersebut akan dilawati oleh paderi untuk melaksanakan Misa dan Pengakuan sekurang-kurangnya dua kali setahun iaitu pada perayaan Paska dan Natal. 

Namun, pandemik yang melanda dunia dan negara pada ketika ini bukan saja telah mempengaruhi situasi semasa tetapi juga turut memberi kesan kepada umat di kampung-kampung yang terpencil ini.

Rombongan Misi Adven selamat kembali dengan bantuan TID 4X4 Club yang bermurah hati memberikan khidmat pengangkutan untuk membawa rombongan dari Kg Pongobonon ke Pekan Donggongon. 

Sepanjang program selama empat hari, banyak kisah suka dan duka yang para peserta alami. Namun kesukaran yang dihadapi dalam perjalanan untuk sampai ke tempat itu hilang digantikan dengan sukacita apabila melihat wajah-wajah umat yang begitu terbuka dan gembira menerima kunjungan mereka.

Fr Rayner menjalankan Misa Kudus bersama para belia di tepi sungai

Fr Rayner menjalankan Misa Kudus bersama para umat di salah sebuah kampung

Makan minum disediakan secara gotong royong oleh para umat di sana dan sangat jelas terlihat di wajah mereka kerinduan yang begitu mendalam untuk mengikuti Misa.

Sepanjang misi lawatan rohani di tiga buah kampung ini, Phobbie, salah seorang belia yang turut serta dalam misi ini berkesempatan mendapatkan perkongsian daripada umat tentang perasaan mereka menerima lawatan paderi setelah hampir dua tahun tidak dilawati.

Kat Rayner Sumporo, Kg Kalanggaan

Saya bersyukur dan merasa sangat senang menerima lawatan Fr Rayner dan rombongan.  Sudah setahun setengah kami tidak menerima kunjungan ini dan tidak berpeluang mengikuti Misa.

Bercakap tentang situasi pandemik ini, kami mengalami halangan untuk keluar ke bandar bagi membeli barang keperluan kerana pernah terjadi di mana kami satu kampung terpaksa dikuarantin kerana ada yang balik di sini mempunyai kontak rapat dengan pesakit di bandar. 

Ia menyebabkan kami tidak lagi dapat melakukan perkumpulan sama ada untuk berdoa bersama mahu pun melawat dan mendoakan mereka yang sakit.

Kami terpaksa minta bantuan daripada orang kampung kami yang tinggal di bandar untuk membeli barang keperluan, atau apabila FDS Sabah Air dijadualkan masuk ke sini, kami akan meminta tolong dgn mereka untuk membeli barang keperluan.

Kami mengharapkan lawatan yang lebih kerap daripada paderi atau pihak gereja pusat ke tampat ini. Hanya itu yang selalu kami nanti-nantikan di sini.

Kat Julius Molumping, Kg Pongobonon

Saya sangat bersyukur dan gembira menerima lawatan paderi dan rombongan setelah penantian hampir dua tahun.  Bila tiada lawatan paderi, kami tidak berpeluang untuk mengikuti Misa dan menerima komuni suci, biasanya kami hanya adakan doa seperti rosari, namun keadaan pandemik yang melanda negara pada ketika ini sangat membataskan pergerakan kami.

Kami tidak menggalakkan perkumpulan kerana kadang-kadang ada juga orang dari luar yang datang di kampung ini untuk acara suka-suka kerana tidak dapat berbuat demikian di tempat mereka, kampung ini menjadi sasaran untuk mereka ‘escape’.

Kat Julius turut mengongsikan tentang hasrat mereka untuk mendapatkan bangunan gereja yang baru memandangkan struktur gereja yang lama sudah sangat uzur.  Namun urusan untuk ke arah itu juga tidak dapat diteruskan kerana mereka tidak dapat keluar berurusan dengan pihak pusat paroki dan mengharapkan lawatan lebih kerap dari paderi dan belia ke kampung mereka untuk membantu mereka dalam pertumbuhan iman.

Ailly, 24 tahun, Kg Pongobonon

Setelah hampir dua tahun tidak menerima kunjungan rohani dari pihak gereja pusat,  pastinya kunjungan mereka pada hari ini memberikan saya kegembiraan dan sukacita. Kerinduan untuk mengikuti Misa dan menerima Tubuh Kristus sangat mendalam dalam hati saya.

Sejak pandemik, kehidupan kami turut berubah. Kami tidak lagi berani turun ke bandar untuk membeli barangan keperluan. Kami juga tidak lagi bebas berjalan atau berkunjung ke kampung lain seperti sebelumnya. Sesi pembelajaran secara online murid-murid sekolah juga turut mengalami masalah kerana di kampung ini tiada capaian internet. Kadang-kadang bila keadaan mendesak, kami terpaksa memanjat bukit yang tinggi untuk mendapatkan talian internet.

Haraapn saya agar pihak paroki atau gereja pusat dapat mengadakan lawatan yang lebih kerap ke kampung kami kerana itu saja peluang kami untuk dapat mengikuti Misa dan menerima komuni suci dan ianya merupakan satu rahmat yang sangat besar kepada kami di sini.

Jescilla Jiatoh, 25 dan Julian Timus, 30, Kg Kalanggaan

Jescilla dan Julian turut mengongsikan perasaan mereka yang menerima kunjungan paderi dan rombongan belia dengan penuh kesyukuran. Kami sangat gembira kerana rombongan sanggup datang ke tempat kami walaupun jauh. Sudah hampir dua tahun kami tidak menerima lawatan dari paderi.

Pandemik yang melanda negara pada ketika ini sangat memberi kesan kepada kami walaupun di kampung yang jauh. Kesukaran untuk keluar dari kampung untuk temujanji anak di hospital kerana takut akan dijangkiti virus ini. 

Kami juga memerlukan duit yang banyak untuk sewa pengangkutan jika kami ingin keluar kerana saudara yang biasa kami minta tolong tidak dapat turun ke tempat kami. Kami juga tidak bebas untuk berkunjung ke rumah saudara yang lain kerana terpaksa mengamalkan SOP.

Melihat kepada situasi dan masalah serta menyelami kerinduan umat di ketiga-tiga kampung ini untuk mengikuti Misa dan menerima komuni suci menyedarkan saya kepada kita semua yang berada di sini, yang tinggal di bandar atau kampung yg mempunyai akses jalan dan capaian internet yang baik, namun kita seringkali gagal untuk memanfaatkannya. Kita yang diberi kesempatan dan peluang yang luas untuk menghadiri Misa setiap minggu tetapi tidak menghargainya.

Kisah perjalanan ini turut dikongsi oleh beberapa orang belia yang menyedari kehadiran Tuhan Yesus dalam misi ini.

Lawrence Loison, KBP St Thomas dan Holy Cross Togudon

Perasaan saya dalam perjalanan ke stasiluar, pada awalnya banyak persoalan dan ada keputus-asaan tetapi apabila sampai di destinasi dan selepas Misa kegembiraan bersama Fr Rayner, tim serta umat, telah menghilangkan persoalan-persoalan, keputus-asaan serta penat lelah.

Sepanjang perjalanan ini telah memperbaharui iman pelayanan saya kepada Tuhan kerana saya percaya bahawa Tuhan telah memanggil saya, memimpin saya sepanjang perjalanan itu dan mengajar saya bahawa pelayanan itu bukan di komuniti kampung sendiri sahaja tetapi melayani seluruh umat Allah, dengan pelbagai cara. Kerana saya dibaptis dan diutus. Syukur dan terpujilah Tuhan Allah Yesus Kristus untuk selama lamanya.

Phoebe Joseph, St Joseph Pogunon

Syukur dan puji Tuhan kerinduan untuk mengikuti misi Adven akhirnya terubat apabila dipilih untuk menyertai misi pada kali ini ke Longkogungan, Kalangaan dan Pengobonon. Teruja tetapi dalam masa yang sama terkejut adanya lawatan stasiluar walaupun tengah menghadapi musim pandemik. Sejajar dengan arahan KKM, SOP tetap dipatuhi sepanjang lawatan ini.

Semasa Misa pertama di Longkogungan, saya merenung dengan membayangkan diri saya sebagai umat di kampung tersebut. Kemungkinan besar saya sudah tidak mempunyai harapan untuk menghadiri Misa Kudus disebabkan situasi semasa, kerana perkumpulan secara beramai-ramai tidak dibenarkan.

Tambahan pula lawatan paderi hanya dilakukan dua kali setahun dan menerima rombongan seolah-olah sudah menjadi satu perkara yang agak mustahil untuk tahun ini.

Tetapi jadual rombongan kami jatuh pada minggu pertama Adven (Tema Harapan) sekaligus memberitakan bahawa harapan itu masih dan kekal ada. Terjadinya lawatan ini adalah atas berkat dan cintakasih Tuhan. Oleh itu, jangan biarkan pandemik ini mematikan harapan atau iman kita sebagai umat Katolik kerana Tuhan Yesus tidak hanya hadir dalam bentuk rombongan, tetapi Dia sentiasa bersama-sama dengan kita. Ingat, Dia hanya sejauh doa.

Apabila saya bercerita dengan beberapa umat kampung, mereka sangat bersyukur kerana adanya lawatan ini. Kerinduan untuk menerima Tubuh Kristus terpancar jelas di wajah mereka. Ada juga yang mengatakan bahawa mereka terasa sunyi tetapi dengan adanya lawatan seperti ini dapat menghiburkan mereka.

Oleh itu, saya berharap agar para umat di kawasan stasiluar tidak mudah berputus asa dan sentiasa mempunyai pengharapan dan sukacita dalam perjalanan seharian. Tekun berdoa agar kita dapat dibebaskan daripada belenggu virus COVID-19. Tuhan memberkati.