Kira-kira separuh daripada paderi di Keuskupan Baoding di wilayah Hebei China baru-baru ini telah menyertai gereja yang dikendalikan kerajaan, lapor ChinaAid. (Foto fail: UCA News)

Apr 25 2023

HEBEI, China – Seorang paderi Katolik di China yang hilang baru-baru ini dilaporkan telah menyertai gereja yang dikelola kerajaan dan kini sedang menjalani proses wajib “indoktrinasi politik” sebagai sebahagian daripada proses penyertaan, kata sebuah kumpulan hak asasi manusia.

Fr Xie Tianming dari Keuskupan Baoding di wilayah Hebei telah dibawa ke lokasi yang tidak didedahkan oleh pihak berkuasa pada 10 April untuk “indoktrinasi politik” selepas beliau bersetuju untuk menyertai gereja yang diselia negara, lapor ChinaAid pada 19 April.

Proses indoktrinasi itu termasuk pengawasan jangka panjang oleh pihak berkuasa sehingga paderi membuktikan bahawa mereka telah mengubah pemikiran mereka selaras dengan dasar polisi agama Parti Komunis China.

Butiran semasa Fr Xie tidak tersedia kerana sekatan maklumat yang dibuat oleh pihak berkuasa China, menurut laporan itu.

“Maklumat dan berita mengenai Fr Xie Tianming sangat terhad kerana sekatan maklumat yang telah lama dikenakan oleh Republik Rakyat China,” katanya.

Laporan media mengatakan pihak berkuasa China secara paksa menahan tokoh agama dan individu di bawah pengawasan paksa dan tertakluk kepada sesi indoktrinasi rahsia yang berlanjutan sehingga tiga tahun.

Mereka yang di bawah pengawasan dihadkan pergerakan dan terpaksa menyertai Gereja yang dikendalikan kerajaan yang diuruskan oleh Persatuan Patriotik Katolik Cina.

Kumpulan hak asasi manusia telah melaporkan bahawa walaupun perjanjian 2018 Vatikan-China mengenai pelantikan uskup, rejim China meneruskan penindasan terhadap gereja bawah tanah tidak rasmi yang sejajar dengan Vatikan.

Perjanjian itu diperbaharui pada 2020 dan 2022, setiap kali selama dua tahun.

Sejak perjanjian itu ditandatangani pada 2018, United Front Work Department of the CCP melancarkan kempen yang memerlukan semua paderi untuk menunjukkan kesetiaan mereka kepada parti untuk pendaftaran rasmi sebagai ulama di negara ini.

Mereka yang enggan mematuhi kehendak itu diambil dari paroki atau komuniti dan akhirnya ditahan.

Sekurang-kurangnya separuh daripada paderi Keuskupan Baoding telah mendaftar dengan gereja yang dikendali kerajaan, lapor ChinaAid.

Kira-kira 10 paderi Keuskupan Baoding telah ditahan dalam empat bulan pertama 2022 dan dibebaskan satu per satu masa sepanjang tahun lalu.

Akhirnya, sebahagian daripada mereka menyertai gereja yang dikendalikan oleh kerajaan, dan mereka yang menolak “tetap di bawah pengawasan dan tidak dapat lagi melaksanakan pelayanan mereka.”

Kumpulan hak asasi manusia mengatakan bahawa tindakan berat itu adalah sebahagian daripada sistem pemantauan dan kawalan rejim China terhadap agama dan hal ehwal agama, walaupun pihak berkuasa menyebarkan ia bertujuan untuk melindungi hak orang beragama.

Pihak berkuasa komunis menyasarkan untuk menguruskan agama secara ketat dengan cara yang komprehensif untuk menjadikan penganut agama mengikut dan melaksanakan ideologi dan tujuan politik parti, lapor ChinaAid pada Mac.

China secara rasminya adalah negara ateis. Walau bagaimanapun, ia mengiktiraf entiti undang-undang lima agama yang dianjurkan – Buddhisme, Taoisme, Islam, Katolik, dan Protestantisme.

Kerajaan menjalankan beberapa badan untuk mengawal hal ehwal agama yang diiktiraf secara sah. Semua paderi dan entiti agama dikehendaki berdaftar dengan kerajaan dan mematuhi dasar yang ketat atau menghadapi tuduhan jenayah dan hukuman yang ketat.

Kumpulan hak asasi Kristian Global Open Doors meletakkan China di tempat ke-16 dalam kalangan 50 negara yang paling sukar untuk menjadi seorang Kristian. – UCA News (Terjemahan oleh CS)