Fr Simon merasmikan pelancaran Hari Paroki dengan memukul gong

Oleh Farnandes (Gambar: Farnandes, Rozie Ray & Jaymar)

Nov 29 2022

LAHAD DATU – Tarikh Ulang Tahun Paroki St Dominic, Lahad Datu jatuh pada 8 Ogos. Seperti pada tahun-tahun sebelumnya, perayaan ulang tahun ini akan dirayakan dengan tujuan mensyukuri rahmat yang telah diberikan Tuhan.

Sudah dua tahun perayaan ini tidak dapat dirayakan secara skala besar disebabkan Pandemik Covid-19. Namun akhirnya, pada tahun 2022, Paroki St Dominic telah kembali lagi merayakan perayaan yang penuh makna ini secara bersemuka.

Perayaan peringkat paroki ini telah dilancarkan oleh Fr Simon Kontou selaku Paderi Paroki pada 3 Julai yang lalu sebagai tanda bermulanya perayaan tersebut yang berlangsung selama sebulan. Pada hari pelancaran itu, sebuah tayangan video berkaitan sejarah dan perkembangan paroki telah ditayangkan kepada umat. Tayangan ini bertujuan untuk mengimbas kembali sejarah paroki serta melihat perkembangan perjalanan paroki selama 70 tahun.

Selesai tayangan sejarah gereja, Fr Simon merasmikan pelancaran Hari Paroki dengan paluan gong.

Semua aktiviti yang telah dirancang lebih awal, dijalankan satu-persatu bagi memeriahkan lagi sambutan ulang tahun tersebut, juga untuk mencari dana bagi menampung kos pembinaan Dewan Penyembahan dan Kelas Katekatikal Paroki St Dominic yang baru. Berikut adalah aktiviti-aktiviti yang telah / sedang / akan dijalankan:

Karnival Keluarga St Dominic – 17 Julai 2022

Mr & Mrs Dominican – Sesi Uji Bakat, 20 Julai 2022

Movie Night – Setiap Rabu bermula 3 Ogos 2022

Sambutan Hari Paroki – 7 Ogos 2022

Sambutan Hari Ulang Tahun Kemerdekaan Indonesia – 21 Ogos 2022

25th Sacerdotal Anniversary of Fr Simon Kontou & Charity Dinner – 31 Ogos 2022

Mr & Mrs Dominican – Peringkat Akhir, 31 Ogos 2022

Suasana dalam gereja di hari pelancaran Paroki St Dominic

Pada 7 Ogos 2022, tepat jam 9.00 pagi, Fr Simon telah memulakan Perayaan Misa Kudus Sempena Hari Paroki St Dominic, Lahad Datu yang Ke-70 tahun ini bersama dua paderi pembantu di paroki iaitu Fr Marcellinus Pongking dan Fr Gerald Terence Saimel, OFM.

Sekali lagi, hari yang bersejarah telah dicipta di paroki ini, di mana ramai umat dari pelbagai bangsa telah hadir dan memberi pelbagai bentuk sokongan seperti sokongan moral, material, tenaga dan wang. Mereka sentiasa bekerjasama sebagai satu keluarga besar di dalam kasih Tuhan.

Para religious sisters daripada Kongregasi Franciscan Sisters of the Immaculate Conception (FSIC), Sabah dari Keuskupan Agung Kota Kinabalu, Paroki Tawau, Sandakan dan Lahad Datu turut datang membuatkan sambutan perayaan ini lebih bermakna.

“Kita di paroki ini adalah satu keluarga. Satu keluarga yang berjalan bersama menuju tanah air syurgawi. Janganlah kita berfikiran bahawa Tuhan mahu menyelamatkan kita secara individu, kerana Tuhan mahu menyelamatkan kita sebagai satu komuniti atau keluarga di paroki ini.

Dalam Kitab Keluaran, apabila Tuhan menyelamatkan orang-orang Israel dari tanah perhambaan di Mesir, Tuhan bukan menyelamatkan satu-persatu tetapi sebagai keluarga. Mereka satu keluarga keluar dari tanah perhambaan dan telah dibentuk menjadi satu keluarga di tanah perjanjian dan begitulah kita juga pada hari ini.” Demikian kata-kata Fr Simon dalam homilinya selaku paderi paroki.

Selesai sahaja Misa Kesyukuran, sambutan perayaan diteruskan dengan acara pentas bertempat di Dewan Terbuka Paroki St Dominic, yang bermula sekitar jam 11 pagi.  Acara dimulai dengan pemotongan kek diikuti dengan persembahan dari belia dan ahli-ahli Komuniti Kristian Dasar (KKD) di seluruh paroki termasuk luar stasi.