
Oleh Clarence Dol
RANAU – Pengampunan bukan sekadar melupakan kesalahan orang lain, tetapi merupakan pilihan untuk melepaskan sakit hati dan membenarkan kasih Tuhan bekerja dalam kehidupan. Demikian ditekankan oleh Fr Abel Madisang ketika meraikan Misa Kudus di Gereja St Peter Claver Ranau pada Ahad, 13 Sept 2026.
Dalam homilinya, Fr Abel mengajak umat mengambil serius ajaran Yesus mengenai pengampunan, khususnya dalam hubungan keluarga dan komuniti. Beliau mengakui bahawa manusia mudah melakukan kesalahan, namun tidak semestinya mudah memaafkan mereka yang telah menyakiti hati.
Menurut beliau, pengampunan tidak bermaksud membenarkan perbuatan salah, sebaliknya merupakan keberanian untuk tidak membiarkan kesalahan masa lalu terus menguasai hati dan kehidupan. Peluang untuk meminta atau memberikan pengampunan juga tidak wajar ditangguhkan kerana manusia tidak mengetahui berapa lama kesempatan untuk berdamai masih diberikan.
“Apabila kita masih mempunyai kesempatan, gunakanlah kesempatan itu untuk saling mengampuni,” katanya.
Fr Abel turut menekankan bahawa pengampunan perlu bermula dalam keluarga kerana konflik dan luka yang tidak diselesaikan boleh merenggangkan hubungan. Keengganan mengampuni akhirnya bukan sahaja menyakiti orang lain, malah membebankan diri sendiri.
Beliau mengajak umat membawa segala luka dan kekecewaan kepada Tuhan serta memohon kekuatan untuk mengampuni dengan tulus. Sebagai pengikut Kristus, umat dipanggil mencontohi kasih, belas kasihan dan pengampunan Yesus, menjadikannya satu sikap hidup yang bermula dalam keluarga dan berkembang kepada komuniti.












































