Sebahagian aspiran yang menghuni Rumah Pembentukan St Joseph Formation House

Oleh Juanis Bin Marcus

Jan 4 2022

TATAL, Keningau – Rumah Pembentukan St Joseph menutup tirai akademiknya tahun 2021 pada 13 Disember lalu melalui satu Misa Kudus yang diadakan di Rumah Retret Keuskupan Keningau, Kg Tuarid, Tatal. Ini adalah empat bulan selepas pembukaan kalender akademik pada 9 Ogos yang lalu.

“Kita bersyukur kepada Tuhan di atas perlindungan dan kelancaran Rumah Pembentukan ini,” kata Uskup Cornelius Piong di dalam homilinya. “Namun seseorang yang benar-benar ingin dibentuk harus mempunyai perubahan sikap di akhir tujuan pembentukannya, agar pembentukannya itu tidak menjadi sia-sia,” katanya lagi.

Fr David Gasikol, Rektor Rumah Pembentukan St Joseph, mengucapkan terima kasih kepada Uskup, paderi-paderi Keuskupan Keningau, para tenaga pengajar dan ‘Friends of St Joseph’ di atas sokongan mereka sehingga adanya kelangsungan yang baik bagi Rumah Pembentukan tersebut. Fr David menyatakan bahawa seramai 27 aspiran dan seminarian ketika ini yang berasal dari Keuskupan Keningau.

“Semoga Rumah Pembentukan ini menjadi aspirasi kepada kita agar satu hari nanti, Rumah Pembentukan yang khas boleh ditubuhkan di Malaysia, sehingga kita tidak perlu lagi menghantar para aspiran dan seminarian ke luar negara,” kata Fr David.

Rumah Pembentukan St Joseph yang terletak di Rumah Retret Keuskupan Keningau, Tatal, ditubuhkan dengan bertujuan membantu para aspiran yang terkandas kerana pandemik covid-19 agar mereka juga mampu dibentuk dari segi rohani, akademik dan hidup berkomuniti.