Puan Roswati Binti Apin (tengah), Penyelaras CCRC Christian Fellowship, Wilson William (tiga dari kiri), bersama kakitangan Pusat, para jemputan dari pelbagai denominasi gereja dan Prison Fellowship semasa Pra-Natal CCRC di Papar pada 5 Dis
Oleh Linda Edward
Dis 8 2020
PAPAR – Pengarah Pusat Pemulihan Cure & Care (CCRC) Puan Roswati Binti Apin berkata aspek kerohanian adalah antara asas dalam usaha pemulihan penagihan dadah.
“Saya percaya dan yakin bahawa aspek kerohanian memang adalah antara asas ataupun foundation dalam pemulihan. Kita tidak boleh lari dari pemulihan yang berasaskan rohani.
CCRC kini mempunyai klien seramai 260 orang yang sedang di dalam pemulihan.
“Saya selalu ingatkan (para klien), tidak kira samada Muslim atau Non-Muslim, saya kata “apabila anda masuk ke pusat ini sebenarnya ini adalah satu hikmah yang besar yang Tuhan berikan.”
Katanya apabila kita diuji dalam apa sahaja keadaan, kita akan balik kepada kekuasaan Tuhan, kepada agama dan kepercayaan masing-masing.
Dia berkata ini semasa sambutan Pra-Natal CCRC dan Klinik Cure & Care pada 5 Disember di Dewan Serbaguna CCRC.
Roswati juga berkata CCRC menyediakan program-program kerohanian di mana kefahaman klien akan diuji dan dimasukkan di dalam penilaian kepulihan klien.
Untuk sambutan pra-Natal ini, Roswati memohon kepada para klien agar benar-benar memahami erti sebenar perayaan ini.
“Apabila kita menyambut Hari Natal, ada falsafahnya sendiri yang perlu dihayati. Saya mohon hayati apa itu Hari Natal,” katanya.
Sambutan Pra-Natal di CCRC tahun ini diadakan secara sederhana tanpa kehadiran keluarga klien untuk mengelakkan penularan pandemik.
Antara jemputan yang hadir pada perayaan ini adalah gereja dari pelbagai denominasi termasuk Keuskupan Agung KK – Komiti Anti-Dadah dan Alkohol (KADA) bersama Caritas Paroki St Joseph Papar dan Holy Rosary Limbahau, Gereja SIB, Prison Fellowship dan Pastor Habis Madin dari Gereja Anglican Papar yang juga telah memberikan khotbah sebelum perayaan bermula.
Salah satu acara istimewa semasa sambutan adalah Cabutan Bertuah dengan ‘hadiah kejutan’ di mana lima orang klien memenangi hadiah ‘video-call bersama keluarga’.
Klien yang beragama Kristian memberikan persembahan koir pada perayaan Pra-Natal CCRC