Sem Lordkennylister dan Sem Heldy di studio Radio Online Cahaya Kinabalu di raungan khas Bersama Fr Nick
Oleh Sr Bibianah Densia, fsp
Jan 29 2021
RANAU – Inisiatif baru untuk Tahun Baru! Radio Online Cahaya Kinabalu menyambut Tahun Baru dengan memulakan pengaturan baru, menampilkan Fr Nicholas Stephen (Fr Nick) bersama dua orang Seminarian Keuskupan Agung Kota Kinabalu, Lordkennylister P James dan Heldy Amin.
Kedua-dua seminarian ini menjalani kerja pastoral sepanjang bulan Januari di Paroki St Peter Claver Ranau. Mereka berdua sedang berada dalam tahun kedua dalam pengajian Falsafah. Seminarian Lordkennylister berasal dari Tuaran, sementara Seminarian Heldy berasal dari Kiulu. Selesai kerja pastoral pada akhir Januari, mereka akan kembali untuk melanjutkan pembelajaran di Kolej General Pulau Pinang.
Wabak COVID-19 telah membatasi pergerakan kedua-dua seminarian ini dalam melakukan kerja-kerja pastoral. Walau bagaimanapun, mereka tetap berterima kasih atas kesempatan untuk bersama tiga paderi iaitu Fr Nicholas Stephen, Fr Francis Tsen dan Fr Maximilliano, yang bertugas di Paroki St Peter Claver dan mengalami sendiri bagaimana rasanya untuk terus melayani umat Tuhan di musim pandemik COVID-19 ini.
Keberadaan mereka di Ranau memberikan mereka peluang untuk didedahkan dan terlibat dalam program Radio Online Cahaya Kinabalu yang dibawakan oleh Fr Nick sendiri. Ini juga merupakan sebahagian daripada kerja pastoral mereka, sekaligus menjadi satu proses pembelajaran dalam menggunakan alat-alat komunikasi yang canggih dan berkuasa. Ini memungkinkan mereka menjangkau lebih ramai umat serta jauh lebih luas lagi dalam pelayanan, bahkan mereka yang berada di luar kawasan paroki.
Di musim pandemik ini, ramai orang yang mencari ketenangan dan tempat untuk mencari sumber kekuatan iman. Oleh yang demikian, satu ruangan khas “Bersama Fr Nick” yang disiarkan di Cahaya Kinabalu telah dirancang khas untuk cuba menjawab keperluan tersebut. Ia bertujuan untuk menyediakan ruangan bagi para pendengar untuk berinteraksi dengan pembawa program meskipun mereka hanya mengikuti secara maya, dari keselesaan rumah mereka sendiri.
Program ini merupakan salah satu bentuk pembentukan iman melalui perbualan. Pada awal program, Fr Nick dan dua Seminarian tersebut membincangkan mengenai tiga sumber otoritas pengajaran di Gereja Katolik, iaitu: Magisterium, Kitab Suci dan Tradisi Apostolik. Fr Nick menekankan pentingnya Katekismus Gereja Katolik sebagai rujukan kerana ianya mengandungi kekayaan iman Katolik kita. Topik perbincangan seperti itu, seakan-akan suatu hal yang agak berat tetapi kenyataannya ia merupakan suatu topik mudah yang berkisar pada kehidupan iman kita seharian.
Menariknya ialah mereka melayan soalan secara spontan atau ‘on the spot’ daripada pendengar. Maka, kedua-dua Seminarian terus-menerus memantau telefon bimbit mereka untuk memeriksa pertanyaan yang dipaparkan di laman facebook Cahaya Kinabalu. Beberapa dari pertanyaan dari pendengar adalah masalah yang dialami secara peribadi atau keluarga yang berkaitan dengan kehidupan iman mereka, hal-hal yang menarik bagi mereka seperti doa, sakramen, pengakuan, tentang mimpi, perkahwinan, kehidupan keluarga bahkan pertanyaan mengenai panggilan kepaderian dan kehidupan sebagai seorang Seminarian dan lain-lain lagi.
Memang tepat dengan nama “On the Spot” apabila Fr Nick dan dua orang seminarian itu siap sedia menjawab semua pertanyaan para pendengar dengan cepat, ikhlas dan jelas, disertai dengan “sense of humor” Fr Nick. Pada masa yang sama, bagi kedua seminarian tersebut, kesempatan untuk berkongsi tentang kehidupan mereka di seminari adalah satu cara untuk mempromosikan panggilan kepaderian.
Perbualan tiga hala mereka yang merangkumi pelbagai topik telah membangkitkan sambutan yang sangat menggalakkan dari para pendengar. Berdasarkan maklum balas yang ditulis di halaman facebook Cahaya Kinabalu, ramai pendengar yang menyatakan penghargaan dan terima kasih atas program seperti ini kerana selain sangat jujur dan spontan, program ini juga sangat menarik, bermaklumat, dan formatif serta memberi pencerahan iman. Melalui program tersebut mereka telah mempelajari banyak perkara tentang kepercayaan iman Katolik yang disampaikan dengan cara yang sangat sederhana, santai dan menghiburkan.
Program khas bersama para seminarian ini telah disiarkan secara langsung buat kali keempat pada 23 Januari 2021. Menurut Fr Nick, mereka akan meneruskan program segmen bual bicara ini untuk dua kali lagi sebelum Seminarian mengakhiri kerja pastoral mereka di Ranau.
Ikuti rancangan ini pada hari Khamis 28 Januari dan Sabtu 30 Januari 2021, bermula setiap hari pada pukul 8:00 malam.
Pada masa ini ada beberapa program lain yang dibawa khas oleh Fr. Nick, bersiaran langsung melalui berbagai platform Cahaya Kinabalu:
- Radio Online Cahaya Kinabalu,
- Misa Online
- Rancangan bual Online “Dari hati seorang Gembala”
- Rancangan Online untuk Keluarga
- Rancangan Online untuk Kanak-kanak
Untuk maklumat lebih lanjut dan untuk mengikuti program tersebut, sila layari halaman Facebook, YouTube dan saluran Twitch Cahaya Kinabalu di:
https;//www.facebook.com/cahayakinabalufanpage
http://www.youtube.com/c/CahayaKinabaluOfficialSPCR
https://m.twitch.tv/cahayakinabalu