
Oleh Clarence Dol
TAMBUNAN – Gereja St Joachim, Kampung Lintuhun telah mengadakan majlis sambutan Pesta Kaamatan pada 27 Jun 2026.
Turut hadir memeriahkan sambutan tersebut adalah Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah N.39 Tambunan, Dato’ Victor Peter Paut. Beliau telah menyumbangkan dana berjumlah RM10,000 kepada Gereja St Joachim.
Sumbangan itu bertujuan untuk menaik taraf dan membaik pulih gereja bagi meningkatkan keselesaan, keselamatan dan kemudahan gereja untuk kegunaan umat menjalankan aktiviti kerohanian serta program kemasyarakatan.
Victor menegaskan komitmennya dalam menyokong pembangunan komuniti melalui bantuan kepada rumah ibadat dan kemudahan awam. Beliau berharap dengan sumbangan itu dapat meringankan beban jawatankuasa gereja serta memberi manfaat kepada seluruh penduduk Kampung Lintuhun.
Menurutnya lagi, semangat Kaamatan perlu diterjemahkan melalui amalan saling membantu, memperkukuh perpaduan dan memelihara nilai kerjasama serta keprihatinan.
Penduduk dan jawatankuasa gereja turut merakamkan penghargaan, menyifatkan bantuan tersebut sebagai bukti keprihatinan pemimpin terhadap kebajikan rakyat serta pembangunan komuniti yang harmoni dan sejahtera.

Dalam satu majlis yang lain pula, Ahli Dewan Undangan Negeri Bingkor merangkap Pembantu Menteri Kewangan, Dato’ Sr. Mohd Ishak Ayub, menghadiri Perayaan Ulang Tahun Keuskupan Keningau Ke-33 Zon Apin-Apin di Kampung Kirokot Baru, Apin-Apin pada 28 Jun 2026.
Majlis itu menghimpunkan komuniti Katolik dalam suasana penuh kesyukuran, sekali gus mengeratkan persaudaraan dan memperkukuh perpaduan masyarakat.
Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan nilai kasih sayang, hormat-menghormati dan semangat melayani masyarakat sebagai asas keharmonian negeri, sambil menyifatkan institusi keagamaan sebagai pemangkin pembentukan masyarakat yang bersatu padu, harmoni dan berakhlak.











































