En Jinsumun Ahip menyerahkan cendera kenangan kepada Bapa Uskup Cornelius Piong
Oleh Juanis bin Marcus, Komsos Keuskupan Keningau
12 Mei 2021
SENAGANG, Keningau – Berkat Tuhan menyertai Keuskupan Keningau melalui kejayaan Zon Senagang di bawah paroki Katedral St Francis Xavier (KSFX) meraikan Perayaan 6 dalam 1 pada 2 Mei lalu.
Keuskupan Keningau meraikan ulang tahun pembentukan dan ulang tahun pentahbisan Uskup Cornelius Piong yang ke-28, kali ini luar daripada kawasan gereja utama.
Berserta kedua perayaan ulang tahun ini, Zon Senagang juga meraikan perasmian Chapel Sakramen Mahakudus yang baru siap oleh Uskup Piong sendiri.
Tiga lagi perayaan tersebut adalah Pesta Kerahiman Ilahi peringkat paroki KSFX, Ulang Tahun Pentahbisan Imamat Fr Joseph Gapitang dan Kesyukuran Paska peringkat zon.
Perayaan bermula pada jam 3.00 petang di mana Uskup Cornelius Piong memberkati dan merasmikan Chapel Sakramen Mahakudus, diikuti dengan prelatus bersama para pengiring dan para paderi dari Paroki KSFX mengiringi imej Kerahiman Ilahi memasuki Gereja St Yohanes Penginjil bagi memulakan perayaan Misa Kudus.
Prelatus bersama para pengiring dan para paderi dari Paroki KSFX mengiringi imej Kerahiman Ilahi memasuki Gereja St Yohanes Penginjil
“Kita harus sedari dan syukuri indentiti kita sebagai pengikut Kristus. Apakah yang dapat menunjukkan kita ini adalah pengikut Kristus? Memiliki rosari, patung dan barang-barang kudus, itu adalah sesuatu yang berguna. Namun ia lebih bersifat luaran. Apa yang lebih penting adalah keakraban kita dengan Yesus Kristus, iaitu kita percaya dan datang kepadaNya,” ulas prelatus dalam homilinya.
Sambungnya, “Hari ini kita menyaksikan pemberkatan Chapel Sakramen Mahakudus. Ini merupakan satu peluang untuk kita datang kepadaNya. Selain menghadiri Ekaristi, kita juga kini dapat mengikuti adorasi di chapel ini.
“Satu hal yang harus kita sedari, apabila kita datang kepada Tuhan, ia adalah Tuhan yang berkuasa. Umpama Matahari yang mempunyai kuasa menyinari setiap kita, begitu juga dengan Tuhan Kita, tetapi Tuhan Kita Yesus Kristus lebih berkuasa dari Matahari.
“Sepanjang pengalaman saya, berkat Tuhan itu sentiasa menyertai kita. Bukan bermaksud tiada kesusahan atau kesukaran. Namun, berkat Tuhan akan menyokong kita untuk mengharungi semua kesusahan itu,” kata prelatus menutup homilinya.
En Jinsumun Ahip, pengerusi penganjur perayaan kali ini, turut berterima kasih di atas kerjasama dan sokongan daripada umat, sehingga perayaan dan perancangan Zon Senagang berjaya dilaksanakan.
Zon Senagang adalah terdiri daripada Gereja St Anne KUK Menipir, Gereja Our Lady of Lourdes KUK Kitung, St Maria Goretti KUK Gaulan, St Joseph KUK Sigapon dan tuan rumah perayaan Gereja St Yohanes Penginjil KUK Senagang.