
Oleh Sr Chennisia Seting, SSFS
KUALA LUMPUR – Suasana penuh kesyukuran dan penghargaan mewarnai majlis jamuan sederhana dianjurkan oleh Archdiocesan Bahasa Malaysia Apostolate (ABMA) bagi mengenang dan menghargai segala jasa serta pengorbanan Sr Irene Chengann sepanjang beliau melayani di Keuskupan Agung Kuala Lumpur.
Sejak memulakan pelayanan di Semenanjung Malaysia pada tahun 2007, Sr Irene telah mendedikasikan 19 tahun hidupnya untuk melayani umat dengan penuh kasih.
Sebagai satu-satunya anggota Sisters of St Francis of Sarawak (SSFS) yang berkhidmat paling lama di keuskupan ini, beliau telah menjadi tonggak penting, khususnya bagi Komuniti Umat Bahasa Malaysia (KUBM).
Sepanjang tempoh tersebut, Sr Irene bukan sekadar seorang religius, malah menjadi penunjuk jalan yang bijaksana, pendengar yang setia, serta ibu rohani yang sentiasa ada untuk membimbing umat dalam perjalanan iman mereka.
Tahun 2026 menjadi penutup lebaran pelayanan beliau di tanah Semenanjung. Sr Irene kini kembali ke Sarawak bagi meneruskan amanah pelayanan Tuhan di sana.
Kehadiran dan dedikasi beliau akan terus tersemat di hati komuniti.
Seluruh umat di Keuskupan Agung Kuala Lumpur, terutamannya ABMA dan KUBM menzahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga atas anugerah pelayanan beliau, serta mendoakan agar beliau terus diberkati dalam babak baharu pelayanan di Sarawak. – Herald Malaysia












































