Fr Alex Sipanul (kedua dari kiri) memotong kek ulang tahun, bersama Diakon Lasius (T-shirt biru), Uskup Agung Wong dan Fr Jack 

Oleh Linda Edward

Jan 5 2022

MADSIANG, Penampang – Sebelum menutup tirai tahun 2021, Fr Alex Sipanul, 73, menyambut ulang tahunnya sebagai paderi yang ke-45 bersama komuniti paroki di Gereja Katolik Madsiang pada 30 Dis lalu.

Misa Kudus untuk perayaan ini dipimpin oleh Uskup Agung John Wong, dan dibantu oleh Fr Alex sendiri, berserta paderi pembantu Fr Jack Sigam dan Diakon Lasius Gantis.

Fr Alex berkata sepanjang 45 tahun pelayanannya sebagai paderi, Tuhan sentiasa menyertai dia dan dia bersyukur atas kesetiaan Tuhan.

Di dalam Misa ini juga, seramai 96 calon telah hadir dan menerima Sakramen Penguatan.

96 calon penerima Krisma bersama para penanggung dan ibu bapa 

Fr Alex berkata kepada semua penerima Krisma semoga ada di kalangan calon lelaki yang dipanggil menjadi paderi, dan di kalangan calon perempuan pula, menjadi religius sister.

Misa Kudus juga dihadiri oleh para penanggung dan ibu bapa calon, yang menjadikan jumlah kehadiran kurang dari 200 umat, sesuai dengan kawalan SOP.

Kepada umat, Fr Alex sempat mengingatkan mereka agar pada tahun baru ini, bukan sahaja pergi ke ladang, tetapi juga mengambil masa untuk berdoa bersama-sama dan hadir ke Gereja.

Di dalam ucapannya, Uskup Agung John Wong berterima kasih kepada Fr Alex atas pelayanannya di ladang Tuhan dan cintakasihnya kepada Gereja tempatan.

Perayaan ulang tahun imamat ke-45 untuk Fr Alex diteruskan dengan makan malam di dewan terbuka.

Menariknya makan malam tersebut dihiburkan dengan kugiran tempatan bernama JJ Ever Green Group yang membawa lagu-lagu Kadazan lama atau ‘Songkotoun’ sesuai dengan kegemaran Fr Alex sendiri.