Dec 21 2021

Pesan Krismas Uskup Cornelius Piong

Selamat Hari Krismas, walaupun kita masih dalam keadaan pandemik Covid-19, semangat merayakan Krismas tetap hidup dan segar asalkan kita tidak lupa dan tidak lari dari inti sebenarnya perayaan Krismas, iaitu ungkapan cinta kasih Tuhan dan ungkapan kesyukuran kita umat manusia atas cinta kasih-Nya (Yoh 3:16).

Mungkinkah pada masa sebelum pandemik Covid-19 kita umat Kristian terpukau oleh gaya duniawi merayakan Krismas sehingga boleh dikatakan perayaan Krismas itu hanya bersifat luaran, kulit sahaja tiada isi!

Saudara saudari, jika kita ambil masa dan renung baik-baik khususnya sepanjang masa Adven, pasti kita akan dapat merasa dan mengalami rencana cinta kasih Tuhan untuk kita manusia, bagaimana Tuhan merancang dengan pelbagai cara selama berabad-abad dan melibatkan para nabi untuk mengutus Putera-Nya Yesus (Ibr 1:1-2; Gal 4:4) untuk menerangkan perjalanan hidup kita supaya hidup sejati dan hidup kekal menjadi jaminan bagi kita. Malangnya, kitapun tidak percaya, seperti yang dialami oleh Yohanes Pembaptis dan Yesus sendiri.

Saudara saudari, perayaan Krismas sepatutnya membawa harapan kepada umat manusia, di mana damai, sukacita, keadilan dan harmoni antara Tuhan, manusia dan alam ciptaan Tuhan dapat kita alami.

Akan tetapi apa yang dapat kita perhatikan masa kini adalah di sebaliknya. Manusia semakin kurang percaya kepada Tuhan. Sikap ini dapat kita lihat dari bagaimana manusia memperlakukan dengan kejam dan tidak adil terhadap sesamanya kerana tidak lagi mengenal Tuhan dalam peribadiperibadi sesama manusia. Begitu juga sikap tidak percaya terhadap kehadiran Tuhan melalui alam ciptaan-Nya.

Saudara saudari, perayaan Krismas kita pada masa pandemik Covid-19 memang sederhana sahaja. Tidak keterlaluan makan dan minum dan tidak keterlaluan “ramai-ramai” supaya tidak lupa SOP. Biarlah kita kurangkan makanan dan minuman duniawi dan tumpukan perhatian kita kepada makanan dan minuman rohani yang ditawarkan oleh Yesus sendiri yang sangat kita perlukan pada masa pandemik Covid-19 ini. Dengan semangat Gereja sinodal —Persekutuan, Partisipasti dan Misi, saya ucapkan selamat Hari Krismas dan tahun Baharu 2022.

Kebahagiaan adalah kekitaan

Uskup Cornelius Piong
Keuskupan Keningau 17 December 2021