Para Calon Sakramen Penguatan Kelas PMG BM Katedral Paroki Hati Kudus mengikuti rekoleksi pada 13 Nov

Oleh Averil Simon

Nov 19 2021

KOTA KINABALU – Biarpun masih dalam musim pandemik COVID-19, namun bukanlah menjadi penghalang bagi para calon Penguatan untuk kelas BM Katedral Paroki Hati Kudus untuk  mengikuti rekoleksi yang diadakan pada 13 November, Sabtu lepas.

Rekoleksi ini juga merupakan salah satu inisiatif yang dilakukan oleh para pembimbing bagi membantu para calon mempersiapkan diri mereka untuk menerima Sakramen Penguatan pada tahun ini. Atas persetujuan Fr Paul Lo, rektor paroki, rekoleksi ini dapat dilaksanakan walaupun hanya dibuat secara online.

Dalam pada masa yang sama rekoleksi ini turut dibantu oleh Fr Sunny Chung yang memberikan perkongsian secara mendalam dan terperinci tentang tujuh sakramen, khususnya Sakramen Penguatan dengan menceritakan kembali bagaimana Roh Kudus turun ke atas Para Rasul semasa Hari Pentakosta.

Melalui perkongsiannya, Fr Sunny memberitahu bahawa setelah kita diurapi oleh minyak Krisma, Roh Kudus akan dicurahkan ke atas kita, agar ia mampu menolong kita teguh dalam iman dan memimpin setiap perjalanan kehidupan kita, kerana Roh Kudus akan membimbing serta menemani setiap perjalanan kita, supaya kita sentiasa teguh bersatu dengan Kristus.

Fr Sunny juga berpesan akan tanggungjawab kita sebagai seorang Kristian Katolik yang telah menerima Sakramen Penguatan untuk mewartakan khabar gembira dan menjadi saksi-saksi Kristus serta menghidupi kehidupan kita sebagai seorang Kristian seperti mana Yesus telah tunjukkan kepada kita.

Kita juga harus melibatkan diri dalam pelayanan gereja dan sentiasa belajar untuk mendalami iman atau membentuk iman kita.

Rekoleksi ini dihadiri oleh 58 orang Calon daripada kelas Pertemuan Minggu Gembira (PMG) bahagian BM, yang akan menerima Sakramen Penguatan pada tahun ini. Tidak ketinggalan juga ibu bapa daripada calon Penguatan serta pembimbing-pembimbing yang turut mengikuti Rekoleksi ini.