
Oleh Clarence Dol
RANAU – Semangat kasih dan keprihatinan terhadap golongan memerlukan diterjemahkan melalui Program Saringan Kesihatan Asas Untuk Komuniti Migran anjuran bersama Catholic Nurses Guild (CNG) & Affiliates Ranau, CARITAS dan Komiti Migran Paroki St Peter Claver Ranau (SPCR) di Dewan St Victor Bongkud pada 5 Julai lalu, bersempena World Caring Day.
Program itu bertujuan membantu komuniti migran di Ranau dan Kundasang yang mempunyai akses terhad kepada kemudahan kesihatan. Sebanyak lapan stesen pemeriksaan disediakan secara percuma, meliputi pemeriksaan tekanan darah, kadar denyutan nadi, tahap oksigen dalam darah, indeks jisim badan (BMI), pemeriksaan fizikal, pemeriksaan mata, pemeriksaan payudara bagi wanita, serta ujian darah bagi mengesan paras gula, asid urik dan kolesterol. Peserta yang dikenal pasti memerlukan rawatan lanjut turut diberi konsultasi serta dirujuk ke fasiliti kesihatan yang bersesuaian.
Selain pemeriksaan, peserta mengikuti ceramah mengenai pencegahan penyakit tidak berjangkit seperti hipertensi dan diabetes serta amalan gaya hidup sihat. Program turut diserikan dengan Misa Kudus sebagai tanda pelayanan Gereja merangkumi kesejahteraan rohani dan fizikal.
Kira-kira 20 petugas dan sukarelawan terlibat, dengan sokongan Fr Ambrose Michael Atang dan Dr Gofri Nenghilon. Seramai 76 orang menjalani saringan kesihatan, manakala sembilan beg darah berjaya dikumpulkan.
Inisiatif ini memperkukuhkan semangat persaudaraan, solidariti dan keprihatinan Gereja terhadap komuniti migran tanpa mengira latar belakang.










































